WELCOME


Isnin, 7 Februari 2011

Susu Tin laa pulak - RM2.30, RM2.70, RM2.80 dan RM3.50,

Giliran Kedah pula
ALOR SETAR - Masalah kekurangan minyak masak di negeri ini kembali pulih namun kenaikan harga susu pekat manis yang dilaporkan berlaku di Pulau Pinang, turut melanda negeri ini.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai runcit di sini mendapati satu tin susu pekat manis dijual pada harga berbeza iaitu RM2.30, RM2.70, RM2.80 dan RM3.50, bergantung kepada jenama susu terbabit.

Peniaga, Azman Hussain, 45, berkata, kenaikan harga susu pekat manis itu berlaku sebelum sambutan Tahun Baru Cina lagi.

“Selepas itu, tidak ada lagi kenaikan, tetapi saya ada mendengar desas-desus menyatakan harga Milo akan naik selepas Tahun Baru Cina,” katanya.

Sementara itu, pengguna, Rohaya Salleh berkata, kenaikan harga susu pekat manis hanya diketahuinya apabila membeli barang keperluan harian.

“Akhir Januari lalu, harga bagi satu tin susu yang saya beli ialah antara RM1.80 hingga RM2 sahaja, tetapi minggu ini harganya sekitar RM2.50 hingga RM3.50,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Mohd Sakri Salleh ketika dihubungi berkata, sehingga semalam tiada sebarang aduan berhubung kenaikan harga susu pekat manis.

“Bagaimanapun, jika berlaku kenaikan ia mungkin disebabkan kekurangan bekalan kerana masalah penghantaran bekalan khususnya di kedai runcit yang tergendala memandangkan ramai yang bercuti panjang Tahun Baru Cina.

“Mungkin kenaikan hanya berlaku di kedai runcit dan tidak melibatkan pasar raya besar,” katanya.

Ditanya mengenai bekalan minyak masak yang sebelum ini berkurangan, Mohd Sakri berkata, bekalan minyak masak di negeri ini sudah pulih.

“Walaupun bekalan sudah pulih tetapi kuantiti pembelian dihadkan, sehingga hujung minggu lalu seorang individu hanya dibenarkan membeli sehingga lima kilogram minyak masak.

“Kawalan masih perlu dibuat bagi mengelakkan ada pihak yang mengambil kesempatan membeli dalam kuantiti yang terlalu besar sehingga boleh menjejaskan bekalan sedia ada,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan