WELCOME

Isnin, 29 Ogos 2011

Pimpinan UMNO "Membela" Islam.....Keh! ke! keh!



Sebelum korang baca artikel penuh gua, gua harap lu orang dapat singgah dekat sini, sini &sini sebagai bahan rujukan terpenting untuk abad ini. Mekasih...


Kenyataan Pemimpin-Pemimpin UMNO Berkenaan Dengan Undang-Undang Hudud.

1. "Hukum rejam kepada penzina adalah primitif." - Tun Dr. Mahathir, 3 Mac 1994, dalam kenyatannya kepada wartawan di Nilam Puri, Kelantan Darul Naim.

2. "Negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan." - Datuk Seri Najib Tun Razak, 20 April 1983, dalam temubualnya dengan para wartawan.

3. "Saya nak tahu siapakah di antara ahli-ahli Pas yang sanggup memotong tangan orang jika hudud dilaksanakan di Kelantan. Barangkali Nik Aziz akan melakukannya. Jika benar kita nak tengok apa yang berlaku selepas hukum itu nanti" - Tun Dr. Mahathir, 30 April 1992 dalam ucapannya di perjumpaan ketua-ketua UMNO Bahagian Johor.

4. "Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam" - Tun Dr. Mahathir, 14 Ogos 1994 dalam ucapannya di Pasir Mas Kelantan.

5. "Apakah hukum hudud mesti dilaksanakan juga walau apa pun keadaan sehingga mendatangkan mudarat kepada orang Islam. Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum-hukum yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan?" – Ucapan Tun Dr. Mahathir, 3 Mac 1994, dalam ucapannya di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan.

6. "Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana sukar mendapat saksi yang tidak fasik." - Tun Dr. Mahathir, 3 Mac 1994, dalam ucapannya di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan.

7. “Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan.Ini sangat memalukan ummat Islam, kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 14 Julai 1992, dalam temubualnya dengan media massa.

8. "Pada pendapat saya, undang-undang Islam tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia sekarang. Lebih baiklah undang-undang yang ada dikekalkan." - Sulaiman Daud, 20 Ogos 1993, dalam temubualnya dengan media massa.

9. “Saya cabar Kelantan laksana hukum hudud di depan orang bukan Islam.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 3 Mac 1994, dalam ucapannya di Pusat Bahasa Nilam Puri, Kelantan.

10. “Al-Quran perlu ditafsirkan semula untuk disesuaikan dengan keadaan masa kini.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 14 Ogos 1994, dalam ucapannya di Pasir Mas.

11. “Saya akan mempastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional tidak akan melaksanakan hukum hudud.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 1994, dalam temubualnya dengan media massa selepas sidang Majlis Tertinggi UMNO.

12. “Kerja yang paling sesuai bagi Tok Guru (ulama’) ialah mengajar, bukan mentadbir.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 14 Ogos 1994, dalam ucapannya di Pasir Mas, Kelantan.

13. “Kita (Kerajaan Pusat) akan ambil tindakan jika Kelantan meneruskan usaha melaksanakan hudud.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 14 Ogos 1994, dalam ucapannya di Pasir Mas, Kelantan.

14. “Bukan kerana dengan melaksanakan hukum hudud saja kita boleh menjadi Islam. Kita tengok banyak negara Islam yang tidak melaksanakan hukum hudud,tetapi tidak bermakna mereka tidak Islam.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 30 April 1992, dalam kenyataannya kepada wartawan.

15. “Perlaksanaaan hukum hudud boleh menyebabkan umat Islam menjadi mundur kerana tidak boleh bersaing dengan orang bukan Islam apabila orang Islam dipotong tangannya dan dilakukan hukum hudud yang lain, sedangkan orang bukan Islam tidak dikenakan.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 18 Ogos 1991, dalam temubualnya dengan wartawan.

16. “Jika mereka hendakkan sangat hukum hudud, mereka kenalah cuba hukum mereka sendiri atau mahkamah mereka sendiri. Mereka seronok nak potong tangan orang, seolah-olah jika tidak potong tangan, tidak Islam. Sekarang kita nak tengoklah mereka boleh buat atau tidak.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 24 April 1992, ketika bercakap kepada wartawan.

17. "Kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawab jika berlaku huru hara, ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.rakyat harus menyoal perlaksaaan hukum itu menguntungkan atau menyebabkan perpecahan pertentangan dan ketidakstabilan politik. Tidak semua negara Islam mengamalkan hukum hudud, bahkan ada negara Islam lebih makmur tanpa hukum itu.” - Datuk Seri Najib Tun Razak, 20 April 1992, ketika bercakap kepada wartawan.

18. “Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki? Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain, kalau sifatnya sudah tidak cukup? Hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.” - Dr. Mahathir Mohamad, 2 Mei 1992, dalam ucapannya di Papar, Sabah.

19. “Sebarang undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia sekarang yang selaras dengan undang-undang Islam boleh dianggap sebagai undang-undang Islam.” - Datuk Dr. Yusuf Nor, 6 Mac 1994 dalam temubualnya dengan Radio Tiga Ibu Kota.

20. “Melaksanakan hukum hudud sehingga melemahkan orang Islam sehingga menjadi masyarakat kucar-kacir dan ditindas oleh orang lain tidaklah secucuk dengan ajaran Islam.” - Dr. Tun Dr. Mahathir Mohamad, 14 Ogos 1994, dalam ucapannya di Pasir Mas, Kelantan.

21. "Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam rakyat Islam yang mati dan kudung sudah tiada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama" - Tun Dr. Mahathir Mohamad 2/5/92

Kenyataan Pemimpin-Pemimpin UMNO Berkenaan Dengan Hukum Menutup Aurat.

1. “Apakah kalau kita tidak tutup (aurat) kita tidak Islam? Banyak benda yang disuruh oleh agama Islam yang kita tidak buat, tetapi kita masih Islam” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, di majlis tertutup Majlis Agama Kebangsaan, 1997.

2. "Tujuan menutup aurat ialah kerana di zaman Nabi, Arab Jahiliyyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain. Akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat” - Tun Dr. Mahathir Mohamad: 5 September 1997 di Perhimpunan Agung UMNO, PWTC.

3. “Cara ini meninggalkan kesan buruk sampai ke bila-bila kepada pihak yang terlibat termasuk keluarga mereka. Orang-orang ini tidak faham apa yang dikehendaki oleh agama. Inilah masalahnya apabila kita memberi kuasa kepada orang-orang yang tidak tahu menggunakan kuasa” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, Utusan Malaysia, 19 Julai 1997)

Tun Dr. Mahathir ketika itu sedang bercuti di Okoyama, Jepun apabila tiga orang gadis Melayu dan beragama Islam iaitu Fahyu Hanim Ahmad,18 (Alor Setar), Noni Mohamad, 19 (George Town), dan Sharina Shaari 23, (Alor Setar), menyertai pertandingan Miss Malaysia Petite 1997 yang diadakan di Classic Ballroom, Hotel Holiday Villa Subang Jaya 13 Jun 1997 telah ditangkap oleh lima pegawai JAIS.

Lanjutan daripada gesaan Dr Mahathirlah maka Sahibus Samahah Dato’ Ishak Baharom ditamatkan perkhidmatan beliau sebagai Mufti Selangor hanya kerana bertegas agar pelaksanaan hukuman Hudud dilaksanakan dan juga kerana menyebabkan tiga orang ratu cantik Melayu-Islam didakwa di Mahkamah Syariah. Sedangkan mufti baru beberapa bulan disambung kontraknya.

Kenyataan-Kenyataan Tun Dr. Mahathir Dalam Kes Tersebut.

1. “Saya bukan lawan dengan semua mufti, tetapi mufti (Dato’ Ishak Baharom) yang semacam ini bukan mufti. Ulama’, macam-macam ulama’ ada. Takkan satu orang boleh mendakwa diri dia ulama dan kita mesti sembah dia inilah waris nabi, bukan main senang. Masuk persatuan ulama’ jadi waris nabi. Syed-syed pun tak pernah berkata macam itu, yang kata dia keturunan nabi, keturunan sahabat-sahabat nabi – pun dia tak kata macam itu. Ini mana-mana tempat membuat dakwaan bahawa ‘ulama’ adalah waris nabi’. Mudah nak jadi waris nabi. Tak payah sapa pilih.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, di majlis tertutup Majlis Agama Kebangsaan, 1997.

2. Ajaran ulama’ inilah yang menyebabkan umat Islam menghabiskan hayat mereka semata-mata mebuat persedian untuk akhirat. Dan untuk ini, berbagai-bagai ibadat dicipta dan ditokok-tambah untuk memenuhi masa hidup mereka” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 8 Nov.1991 di Perhimpuan Agung UMNO, PWTC)

Mengizinkan Maksiat/Membela si Pemaksiat (Kes 'The Zouk', Ampang)

1. "Tiada sebarang peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memberi kuasa kepada penguatkuasa agama negeri untuk menangkap umat Islam yang berada di premis yang menghidangkan arak sekiranya mereka tidak meminumnya". - Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Jun 2001

2. “Apabila undang-undang ini dikuatkuasakan, saya percaya masalah seperti ini akan berkurangan dan dapat diketepikan. Walaupun undang-undang ini akan dikuatkuasakan, kita mesti terus berhati-hati juga tentang sistem penangkapan dan penguatkuasaan supaya persepsi orang ramai terhadap kuasa yang ada tidak bercanggah, konon sewenang-wenang dilakukan tangkapan dan sebagainya,” - Dato’ Rais Yatim, Jun 2001

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Abu Hassan Omar, Jun 2001: menyifatkan bahawa tindakan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam (JAIS) menangkap 31 orang mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 pada 10 Jun merupakan satu kekhilafan dalam mentafsir undang-undang.

Beliau mengkritik hebat tindakan JAIS berikutan langkah pegawai dan kakitangan jabatan tersebut melakukan serbuan dan tangkapan terhadap 25 orang Islam dalam sebuah pub “The Ship” di Damansara Utama, Selangor pada 11 Jun 2001 atas kesalahan orang Islam tidak dibenarkan membuat persembahan atau bekerja di dalam premis yang menjual minuman keras.

info : perisik rakyat

Saham najib jatuh 6% menjelang Aidilfitri

Tahap puas hati terhadap Najib jatuh enam mata

Tahap kepopularan atau puas hati dengan kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah merosot enam mata kepada 59 peratus, menurut laporan terbaru oleh badan banci bebas dan pusat penyelidikan pendapat, Merdeka Center.

Menurut Merdeka Center kemerosotan itu mempunyai kaitan dengan kos sara hidup yang terus meningkat apabila pengguna mula merasai kesan atau impak kenaikan kos bahan api dan elektrik baru-baru ini.

Pusat banci itu juga mendapati bahawa cara kerajaan menangani dan mengendalikan perhimpunan BERSIH 2.0 juga mempengaruhi persepsi umum kerana ia mempunyai kesan negatif dan telah menghakis sokongan kepada perdana menteri.Hasil kajian turut menunjukkan Najib masih gagal mendapatkan sokongan masyarakat Cina dengan hanya 38 peratus yang berpuas hati dengan kepimpinan beliau.

Hanya kaun India sahaja yang memberi sokongan tambahan kepada Najib dengan peningkatan 4 peratus kepada 69 peratus berbanding Mei lalu.

Kaum Melayu bagaimanapun dilihat semakin kurang yakin dengan Najib apabila sokongan yang diterima semakin berkurang daripada 76 peratus pada Mac tahun ini, 73 peratus pada Mei dan kini 69 peratus berpuas hati dengan kepimpinan beliau.

Selain itu hampir setengah (49 peratus) dari responden menyatakan mereka memahami permintaan BERSIH 2.0 mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya negara ini.

Hanya 39 peratus yang puas hati dengan cara kerajaan mengawal isu berkenaan BERSIH dengan 48 peratus menyatakan sebaliknya.

Lebih menarik, majoriti bersetuju dengan beberapa permintaan BERSIH 2.0. Lebih dua pertiga menyatakan sokongan membenarkan pemantau dari dalam dan luar negara memantau pilihan raya kita (70 peratus), membenarkan akses media kawalan kerajaan kepada pembangkang untuk kempen pilihan raya (68 peratus), penggunaan dakwat kekal (70 peratus) dan pembersihan daftar pemilih (88 peratus).

Hasil kajian ini juga menunjukkan rakyat Malaysia masih berbelah bahagi dalam pelbagai isu penting dengan hanya 51 peratus, berbanding 54 peratus Mei lalu yang bersetuju bahawa negara ini menuju ke arah yang betul.

"Kajian menunjukkan kebimbangan awam masih berkaitan ekonomi dengan 38 peratus menyatakan demikian diiikuti masalah sosial - 10 peratus. Isu kebimbangan berkaitan politik pula di tangga ketiga dengan 9 peratus dan berkenaan jenayah dan keselamatan awam, 7 peratus," mengikut laporan tersebut.

Kajian ini melibatkan 1,027 responden dengan agihan kaum 59 peratus Melayu, 32 peratus Cina dan 9 peratus India. Mereka dipilih mengikut metodologi sampel berdasarkan etnik, umur, jantina dan negeri kelahiran dari seluruh semenanjung

Bekas tentera jangan termakan dakyah Umno

BUTTERWORTH, 29 Ogos: Sambutan Merdeka sudah menjadi perayaan Umno tidak lagi dirayakan sebagai sambutan terulung negara ekoran banyak fakta mengenainya diselewengkan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Ini, katanya dengan menafikan golongan yang bersama menentang penjajah sebaliknya hanya mengagungkan kepimpinan Perikatan dan Umno yang diiktiraf oleh penjajah.

Beliau ketika ditemui di majlis berbuka puasa di Surau Al Ghufron, Taman Kuala Bekah, Penaga semalam juga menafikan apa yang ditulis dalam media pro kerajaan kononnya beliau menghina pejuang negara dengan menyokong penganas dalam kopeni pasukan ke 4 Parti Komunis Malaya (PKM).

Baginya, sejarah sebenar tentang serangan terhadap tragedi Bukit Kepong telah diselewengkan apabila mengambarkan serangan dilakukan oleh PKM padahal ia diketuai oleh Muhamad Indera yang menentang polis yang dianggap bersekongkol dengan penjajah.

"Banyak fakta sejarah telah diselewengkan terhadap serangan Bukit Kepong sedangkan serangan sebenar diketuai oleh Mohamad Indera dengan puaknya yang tidak menyenangi penjajah atau polis yang menjadi alat penjajah," jelasnya yang hadir bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan rombongan untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan daif.

Menurutnya, akibat fakta yang tidak kena pada filem 'Bukit Kepong' arahan Jins Shamsuddin membuatkan ramai orang terkeliru apabila cerita sebenar diceritakan semula di khalayak ramai.

Apa yang diperkatakan memang betul sambungnya, sebab waktu itu negara bukan lagi merdeka, polis yang bertugas adalah polis yang bersekongkol dengan penjajah.

Golongan yang menyerang penjajah pukul ratanya dianggap komunis walhal ramai anak muda Melayu ketika itu tidak menyenangi golongan yang bersubahat dengan British.

Untuk menyokong komunis nyata tidak sama sekali kerana komunis itu sendiri telah hancur dan hanya menjadi pameran di muzium.

"Contohnya pandangan Imam Khomeini sendiri jelas tentang Komunis. Semasa hayatnya dia sendiri mengatakan blok komunis bakal tinggal kenangan dalam muzium. Hari ini benar-benar berlaku," katanya.

Sepatutnya nama seperti Pak Sako, Tok Janggut, Mak Kilau, Dato' Bahaman, Dr Burhanudin, Ahmad Boestamam dan orang yang seangkatan denganya diberikan penghormatan bukan sahaja nama-nama besar Umno sahaja.

Kepada bekas anggota tentera pula terangnya, usah termakan dakyah Umno yang cuba memburukkan namanya dengan menyifatkan beliau menghina pejuang negara.

"Saya tetap puji tentera selepas negara mencapai kemerdekaan kerana perjuangan mereka untuk mempertahankan maruah negara berbanding di era sebelum merdeka sebab polis ketika itu bekerja dengan penjajah," tegasnya. [harakah

Tahukah ANDA siapa sebenarnya BARUA BRITISH???

Sebelum ada yang hendak menuduh Tulang Besi ni pro komunis, biar Tulang Besi ingatkan arwah Datuk Tulang Besi adalah bekas asykar yang berjuang menentang komunis sewaktu darurat sebelum Merdeka dahulu. Kalau siapa ke Kampung Astana Raja dan tanya orang2 tua disana, mesti mereka pernah dengar nama "Dolah Komando".

Keduanya, Tulang Besi MENYOKONG PENUH 100% kenyataan Abang Mat. Ramai orang Melayu telah dibutakan sejarah, tak tahu beza pejuang kemerdekaan dgn pejuang British.

Sememangnya yang memimpin serangan ke atas Bukit Kepong itu bernama Mohammed Indera. Serangan ke atas Bukit Kepong adalah sebahagian dari usaha mereka mahu menghalau British dari Tanah. Kesah tersebut boleh dibaca di sini.

Yang mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong adalah pegawai2 polis yang berkhidmat untuk kerajaan British, bukannya berkhidmat untuk kerajaan Melayu ataupun Malaysia.

UMNO BARUA BRITISH TAK PERNAH LAWAN BRITISH

UMNO pula dipimpin oleh pegawai2 British yang hidup mereka lebih British dari British sendiri.

Orang2 seperti Dato' Onn dan Tunku abdul Rahman hidup mereka dibiayai oleh gaji yang dibayar oleh British. Tunku tidak pernah walau satu hari dalam hidup beliau menentang British. Begitu juga pemimpin2 UMNO yang lain: Kapten Hussein Onn, Syed Jaafar Alba, Syed Nasir, Tun Dr Ismail, Tun Abdul Razak dsbnya.

SEMUA PIMPINAN UMNO pada masa sebelum merdeka hidup mewah dibiayai British, setiap hari berpakaian seperti British, pergi ke pejabat di dalam kereta yang dipandu supir serta makan dan minum seperti orang putih.

Maka, tak hairanlah apabila British mahu memurtadkan Natrah, pemimpin2 UMNO ini senyap sunyi dan duduk di dalam pejabat2 mereka tidak menggerakkan walau satu jari pun untuk menghalang murtadnya Natrah.

Yang bangun menentang British pada masa itu, adalah Dr Burhanuddin Helmi serta Karim Ghani yang telah memimpin demonstrasi Natrah di tengah2 bandar Singapura. Rusuhan itu telah menyebabkan kerugian berjuta kepada British.

Maka, tak perlulah UMNO nak marah dgn Mat SAbu. Lebih baik pemimpin2 UMNO mengaku yang mereka adalah barua British dan mereka tidak pernah bangun menentang British sepanjang sejarah UMNO ditubuhkan.

Syabas Abang Mat kerana mendedahkan siapa sebenar pejuang kemerdekaan dan siapa sebenarnya pengkhianat.

Tulang Besi

ini dia BAPA menjahanamkan Bahasa Ibunda..!!

Sikit Punya Hal Tetapi Besar Kesannya

Ya Khoffi: DI berita tv malam semalam saya menyaksi Najib Razak telah melawat hentian Puduraya dan telah menukar nama hentian itu kepada nama baru Pudu Central. Menurut Najib nama itu dicadang oleh salah seorang rakan twiternya yang tweet kepadanya agar nama hentikan itu ditukar kepada nama baru.

Beliau tidak menyebut siapa dan bangsa apa rakan twiter yang tweet kepadanya itu. Saya percaya orang yang mencadangkan nama itu bukan seorang Melayu tulen yang kuat semangat dan seorang yang mementingkan sejarah.

Kalau dia seorang Melayu tulen sudah pasti dia akan mempertahankan nama lama yang lebih sesuai dan tepat dengan negara ini yang dihebuhkan sebagai negara berketunaan Melayu. Puduraya menunjukkan Pudu (hentian) yang besar dan lengkap. Nama Puduraya itu lebih lagi sesuai dengan kecanggihan dan kelengkapan yang disediakan setelah diubahsuai.

Kata Najib dalam mengulas kehebatan Puduraya itu ianya seperti sebuah lapangan terbang. Nah, makin sesuai sangat kalau nama Puduraya dikekalkan kerana orang Melayu khasnya boleh berbangga dengan nama itu. Kalau ditukar kepada Pudu Central ia tidak mempunyai apa-apa elemen keMelayuan lagi.

Najib sendiri juga tidak perlu bingkas sebegitu sekali kepada cadangan itu. Sebagai seorang pemimpin beliau sepatutnya peka dan peduli kepada elemen-elemen keMelayuan, sejarah, rupadiri dan juga memahami sentimen mengenai nama itu.

Lagi pun partinya adalah parti yang berjuang atas nama Melayu, kepentingan Melayu. Kalau perkara sekecil itu pun tidak dapat dipertahankan apalah hendak diharap kepada perkara yang lebih besar lagi.

Saya nak sebut dalam soal menjaga budaya, mempertahan budaya ataupun menyelitkan unsur-unsur budaya dan bahasa, orang Cina lebih peka berbanding dengan orang Melayu. Perhati saja kepada tulisan Cina dipapan-papan tanda. Walaupun sebesar mana tulisan dalam bahasa Melayu tetapi bahasa Cina tetap diselitkan di mana-mana sudut. Inilah kaum yang mementingkan kepada budaya dan citarasa mereka sendiri.

Terlanjur menyebut hal ini saya kagum dengan sikap Karpal Singh seorang sikh tetapi menghormati tulisan jawi. Dalam satu kad perniaga beliau yang diberikan kepada saya tercatat namanya dalam tulisan jawi. Apakah tindakan Karpal ini sebagai memerli orang Melayu atau memang dia merasakan tulisan jawi itu ada estitikanya tersendiri.

Berlainan dengan orang Melayu, nama yang sudah ada pun dicabut dan ditohok diganti dengan nama Inggeris yang menjadi kebanggaannya. Sebab itu saya katakan corak pentadbiran seseorang pemimpin ke atas negaranya bergantung atau dipengaruhi oleh latar belakang pendidikannya.

Kalau dia berpendidikan barat maka budaya baratlah yang dibawa dalam kehidupan dan gaya kepimpinannya. Kalau pendidikannya sekular maka sekularlah juga sistem yang digemarinya. Kalau dia berpendidikan budaya Arab Islam maka gaya dan corak itulah yang akan dilaksanakan. Pengaruh pendidikan dan ilmu besar sekali ke atas seseorang manusia.

Saya rasa Najib jangan sangat ghairah melakukan apa-apa tranformasi sehingga boleh mengikiskan budaya bangsa sendiri. Orang berkedudukan seperti beliau boleh melalukan apa saja kerana kuasa. Dan kalau beliau melakukan tidak ada siapa yang akan membantahnya, terutama orang Umno kerana mereka kebanyakannya berajakan kepada Najib. Siapa orang Umno yang berani membantah Najib?

Mungkin orang Umno akan mengatakan perkara itu remeh, apalah yang ada kepada nama. Tetapi kena ingat sesuatu yang besar itu bermula daripada perkara remeh. Bukan itu saja kalau perkara sekecil soal nama itu pun tidak boleh dipertahankan macam mana Najib dan Umno hendak mempertankan perkara-perkara lebih besar dari itu. Benarlah juga kata budak-budak Umno menjaul Melayu dan menjual negara.

Akhirnya selamat pagi kepada Najib bukan selamat hari raya di atas tindakan menukar nama Melayu kepada Inggeris itu. Titik tidak bernokhtah! [wm.kl.10:43 am 28/08/11]

Ahad, 7 Ogos 2011

Kuliah Ramadhan Surau Perwaja Gurun

Najib bakal rombak kabinet sebelum PRU-13?

KUALA LUMPUR: Terdapat desas-desus mendakwa sebarang kemungkinan rombhttp://3.bp.blogspot.com/_QZ6z7NdGoVo/TFTdUc9L91I/AAAAAAAACIs/8vucKSHHwhA/s1600/Firdaus_Jaafar_Jerai.jpgakan kabinet akan dilakukan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak sebelum pilihan raya umum ke-13.
 
Menurut Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar, dilihat kepada perkembangan terkini membabitkan orang-orang kanannya, Najib mulai rimas dan bimbang sebarang usaha yang akan menjejaskan kedudukannya selaku orang nombor satu.

 
Bercakap mengenai adanya pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan 100 ahli Parlimen BN, Firdaus berkata, ia mungkin boleh menjadi strategi kepada TPM untuk mendapatkan pengaruh kepimpinan pertengahan di dalam BN. Lebih dari itu, Najib kini memiliki rekod buruk dalam pentadbirannya antaranya dalam isu Kapal Selam Scorpene membabitkan penahanan seorang peguam daripada Perancis, kata Firdaus.
 
“Walaupun Muhyiddin juga ada masalah semasa mentadbir Johor dahulu, namun ianya kini lebih terfokus kepada Najib yang banyak menghadapi masalah, termasuk membabitkan orang di sekelilingnya,” katanya. Beliau yakin, jika terdesak Najib akan melakukan rombakan kabinet bagi memempastikan kedudukannya selamat.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan dikatakan meluluskan geran segera RM100,000 bagi setiap bahagian ekoran aduan ahli-ahli Parlimen BN mendakwa pentadbiran Najib hanya memfokus projek-projek besar di Lembah Klang. Langkah yang menurut mereka tidak akan membantu perikatan itu dalam pilihan raya umum ke-13.

Muhyiddin dikatakan telah menjanjikan setiap ahli Parlimen BN RM100,000 pada satu pertemuan dengan sekitar 100 wakil rakyat BN di ibu negara baru-baru ini. Ia dijangka disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri akhir bulan depan.
Ahli-ahli Parlimen memberitahu Muhyiddin dan menteri-menteri yang lain bahawa kerajaan seharusnya mempastikan lebih banyak dana disalurkan kepada bahagian-bahagian diwakili mereka berbanding tumpuan ke atas projek mega seperti Transit Rapid Massa (MRT) sekiranya BN mahukan mandat kukuh dalam pilihan raya umum ke-13.

Beberapa ahli Parlimen yang menghadiri majlis makan malam itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa rakan-rakan mereka mempersoalkan nilai projek MRT ke atas kempen BN dalam pilihan raya umum ke-13

Kerajaan Rosmah bertukar menjadi "Kerajaan Mismah"

Pilih tuntutan Bersih atau 'kerajaan Mismah'
Abd Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 7 Ogos: Selagi lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih 2.0 tidak dipenuhi, tidak hairan jika Umno begitu yakin merampas kembali pentadbiran Selangor, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Jika diambil kira trend pengundian dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor dahulu, kita yakin Pakatan Rakyat (PR) dapat mengekalkan pentadbirannya di Selangor.

"Tetapi dengan beberapa perkembangan selepas itu termasuk pertambahan pengundi dengan kadar yang mencurigakan ditambah pula dengan pelbagai perkara lain yang juga mencurigakan termasuk Mismahgate, apa hendak dihairankan jika Umno begitu luar biasa keyakinannya untuk merampas kembali pentadbiran Selangor," katanya.

'Mismah gate' merujuk kepada kebanjiran mereka yang mempunyai status penduduk tetap dalam daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Salah seorang dari mereka bernama Mismah yang ditukar statusnya oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari seorang penduduk tetap kepada seorang warga negara hanya beberapa jam selepas dihebohkan bahawa beliau didaftarkan sebagai pengundi walaupun hanya berstatus penduduk tetap.

Lebih mencurigakan, SPR juga dengan begitu segera tiba-tiba menukar nama Mismah kepada kategori 'dalam proses pengesahan daftar pemilih' selepas pendedahan itu sedangkan sebelum itu namanya berada dalam kategori 'sedang dalam pameran rang'.

"Dengan apa yang terjadi itu, kalau Umno dan BN menang di Selangor malah di mana-mana pun dalam pilihan raya umum akan datang, kerajaan tidak bermaruah selepas itu hakikatnya adalah 'kerajaan Mismah' yang menang dengan menggadai kedaulatan dan keselamatan negara kepada orang asing dan bukan kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat Malaysia.

"Sebab itulah, rakyat Malaysia yang bermaruah hanya ada dua pilihan sahaja iaitu menuntut lapan tuntutan Bersih itu dilaksanakan atau meringkuk di bawah pemerintahan 'kerajaan Mismah' yang akan menjerumuskan lagi negara ini ke dalam kehancuran," kata Mohamad.

Beliau mengulangi keazamann untuk berusaha menggerakkan lagi kebangkitan rakyat menuntut lapan tuntutan Bersih itu dilaksanakan.

"Pihak yang berdolak-dalik itu tidak akan melaksanakan tuntutan tersebut melainkan dengan kebangkitan kuasa rakyat yang lebih besar dari apa yang berlaku 9 Julai lalu.

"Mereka tidak memberikan pilihan yang lain kepada rakyat," tegas beliau.

Antara lapan tuntutan bersih ialah supaya SPR membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Malaysian Insider semalam melaporkan Umno yakin akan menang di Selangor pada pilihan raya akan datang dengan majoriti sehingga 20 kerusi.

Pandu Mercedes seludup dadah

NOOR RASHID menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas daripada 10 individu pada sidang akhbar di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Kegiatan licik 10 individu yang mengubahsuai tempat duduk belakang kereta Mercedes untuk menyeludup pelbagai jenis dadah ke negara ini dari Thailand sejak 10 bulan lalu terbongkar apabila kesemua mereka ditahan bersama dadah bernilai RM6.5 juta Jumaat lalu.

Serbuan terbesar di kawasan utara tanah air itu dilakukan hasil kerjasama polis negara ini dengan pihak berkuasa Thailand selain maklumat awam.

Siasatan mendapati, sindiket bergelar Geng Mercedes termasuk seorang remaja berusia di antara 14 dan 46 tahun terbabit mengubah suai tempat duduk belakang kereta Mercedes untuk menyeludup dadah seperti heroin, syabu, ganja dan pil WY.

Mereka bergerak aktif sejak 10 bulan lalu dengan menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai laluan utama membawa barangan haram tersebut buat penagih di kawasan utara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, pembongkaran bermula apabila sepasang suami isteri ditahan di satu sekatan jalan raya di Changlun dekat sini pada pukul 8.30 pagi Jumaat lalu.

Katanya, pemeriksaan pada kereta Mercedes yang dinaiki mereka menemui syabu yang disorok di ruang khas tersebut.

Kat Allah tak takut tapi kat Polis lari sampai mati pon takpa..!!

Jumlah mangsa belum pasti

KUALA KETIL - Beberapa penduduk tempatan dikhuatiri lemas apabila nekad terjun ke dalam Sungai Kuala Lesong untuk mengelakkan diri mereka ditahan polis dalam satu serbuan judi haram di Kampung Kuala Lesong, kelmarin.

Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah Baling dan Sungai Petani dikerahkan untuk mencari mangsa yang dikatakan hilang selepas terjun ke dalam sungai.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, kemungkinan mangsa yang hilang lebih daripada lima orang.

“Saya pun tak tahu jumlah sebenar mangsa yang hilang. Ada yang kata lima, ada yang kata tujuh,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang hilang dikhuatiri lemas apabila mereka tidak pulang ke rumah.

“Kalau mereka takut dengan polis sekalipun, mereka tentunya akan pulang ke rumah. Tapi, sehingga kini, tiada maklumat langsung mengenai mereka,” katanya.

Ketua Polis Daerah kuala Muda Asisten Komisioner Hashim Ali mengesahkan kejadian berkenaan.

“Semalam (kelmarin) serbuan judi haram di buat di Kampung Kuala Lesong. Akibat serbuan itu, beberapa penduduk bertindak terjun ke dalam sungai untuk melepaskan diri.

“Setakat hari ini, polis hanya menerima dua laporan mengenai orang hilang,” katanya kepada Sinar Harian.

‘Anak saya tak tahu berenang’

WARIS kepada seorang mangsa yang hilang mengatakan anak lelakinya itu tidak tahu berenang.

“Kini, saya hanya mampu berdoa dan menyerahkan kepada pihak yang terbabit untuk mencari anak lelaki saya itu.

“Anak saya mempunyai dua cahaya mata. Saya tak dapat bayangkan keadaan anak-anaknya sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini kepada ayah mereka,” katanya.

Menurutnya, dia turut mencuba perubatan tradisional untuk mengetahui mengenai anaknya itu.

“Setakat ini, belum ada perubahan yang berlaku dan pihak bomba belum lagi dapat mengesan mangsa yang hilang. Saya dah berikhtiar, jadi, semuanya bergantung kepada ketentuan Ilahi,” katanya.

Menurutnya, dia difahamkan, semasa anaknya terjun ke sungai, terdapat seorang rakan yang ingin membantu ketika anaknya sedang terkapai-kapai.

“Rakannya itu sempat menarik rambut anak saya, tetapi terlepas. Itulah apa yang diceritakan kepada saya,” katanya.

Belum dapat maklumat lengkap

KETUA Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Abd Kudus Abd Malek berkata, pihaknya tidak dapat memberikan kenyataan kerana masih belum mendapat maklumat yang lengkap.

“Kita tak tahu, berapa sebenarnya mangsa yang hilang. Jadi, agak sukar bagi kami untuk memberikan sebarang kenyataan mengenai operasi ini.

“Namun begitu, pihak bomba yang turut disertai oleh skuad skuba akan terus mencari. Operasi akan bersambung esok (hari ini) sekiranya bomba masih belum dapat mengesan mangsa yang hilang,” katanya