ALOR SETAR – Kegiatan licik 10 individu yang mengubahsuai tempat duduk belakang kereta Mercedes untuk menyeludup pelbagai jenis dadah ke negara ini dari Thailand sejak 10 bulan lalu terbongkar apabila kesemua mereka ditahan bersama dadah bernilai RM6.5 juta Jumaat lalu.
Serbuan terbesar di kawasan utara tanah air itu dilakukan hasil kerjasama polis negara ini dengan pihak berkuasa Thailand selain maklumat awam.
Siasatan mendapati, sindiket bergelar Geng Mercedes termasuk seorang remaja berusia di antara 14 dan 46 tahun terbabit mengubah suai tempat duduk belakang kereta Mercedes untuk menyeludup dadah seperti heroin, syabu, ganja dan pil WY.
Mereka bergerak aktif sejak 10 bulan lalu dengan menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai laluan utama membawa barangan haram tersebut buat penagih di kawasan utara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, pembongkaran bermula apabila sepasang suami isteri ditahan di satu sekatan jalan raya di Changlun dekat sini pada pukul 8.30 pagi Jumaat lalu.
Katanya, pemeriksaan pada kereta Mercedes yang dinaiki mereka menemui syabu yang disorok di ruang khas tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan