WELCOME


Khamis, 30 September 2010

Pulangkan wang sumbangan kerana hasil judi?

Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya. Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan, nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat. Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan, rumah urut ‘pelacuran' dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.

DARI SUDUT HUKUM

Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, tindakan mereka adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.

Fakta berikut perlu difahami:

1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang ( dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.

Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.

Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.

2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.

Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjankannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi'. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.

3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.

Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam ( Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225 )

PANDANGAN ULAMA MAZHAB

Ulama hanafi menyebut :-

والملك الخبيث سبيله التصدق به, ولو صرف في حاجة نفسه جاز . ثم إن كان غنيا تصدق بمثله

Ertinya : Pemilikan kotor ( haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) ( Al-Ikhtiyar Li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61)

Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. ( rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)

Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata:

وإذا دفعه - أي المال الحرام- إلى الفقير لا يكون حراماً على الفقير , بل يكون حلالا طيبا

Ertinya : sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir ( dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka. ( Al-Majmu' , 9/428)

Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain :-

وقول القائل: لا نرضى لغيرنا ما لا نرضاه لأنفسنا فهو كذلك ولكنه علينا حرام لاستغنائنا عنه وللفقير حلال إذا حلّه دليل الشرع وإذا اقتضت المصلحة التحليل وجب التحليل

Ertinya : Menjawab kata-kata orang yang berkata : "Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita". Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara' yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan. (Ihya Ulumiddin, 2/212)

Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata :

إذن ما دام هو ليس مالكا له, جاز له أخذه والتصدق به على الفقراء والمساكين أو يتبرع به لمشروع خيري

Ertinya : Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa' sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). ( Fatawa Mu'asiroh, 1/606)

RINGKASAN DALIL

Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-

1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda :

هذا سحت فتصدق به
Ertinya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]

3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

KESIMPULAN

Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka (pemberi sumbangan) itu bercampur antara wang halal dan haram. atau dalam kata lainnya, harta mereka masih ada yang neutral dan halal.

Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.

Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini .

Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara'. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.

Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.

Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
30 Sept 2010

Selasa, 28 September 2010

MAJLIS SUMBANGAN HARI RAYA DI MARKAZ PAS KG PAYA BESAR

YB bersama En. Jaafar Ishak mewakili PAS caw. Selarong Paya Besar
Barisan Kepimpinan yang menjayakan majlis tsebut diketuai Hj Nor Ali
En. Johari (mewakili Maybank) bersalaman & berpelukan dgn YB
En. Zaki Zuber (mewakili PAS Bandar Sg Buaya Rawang) bersalaman menyambut kdtgn YB
Ust Ishak (PAS Bdr. Sg Buaya) menyambut kdtgn YB
En. Jaafar Ishak- alu-aluan dari pengacara majlis
Tazkirah ringkas dari Ust Mansoor Dahlan (pendakwah bebas sekitar Selangor&KL)
Bacaan doa memohon kesejahteraan dunia akhirat
Amiiin Ya Allah...
Hamper sumbangan hariraya
penerima sumbangan - Warga Emas




Anak Yatim



Sumbangan utk tenaga kerja Masjid P.Besar sempena jamuan bbuka&more

Saguhati utk imam sukarela Masjid P.Besar sepanjang Ramadhan
Antara penduduk kampung yang hadir
Kaum Muslimat
PROGRAM SUMBANGAN AIDILFITRI KEPADA FAKIR MISKIN/ANAK YATIM BERSAMA YB KUALA KETIL EN. MD ZUKI DAN EN.JOHARI (MAYBANK /PAS BANDAR SG BUAYA)
TARIKH: 30 RAMADHAN 1431H/9 SEPTEMBER 2010
HARI: KHAMIS
MASA: 2.30 PTG
TEMPAT: MARKAZ PAS CAWANGAN SELARONG KG PAYA BESAR K.KETIL
MEMBANGUN BERSAMA ISLAM

Isnin, 20 September 2010

PERJUANGAN ISLAM- SELAMAT DUNIA AKHIRAT

""Renunglah dengan mata hati..pasti terbuka kunci…""

SAHABAT yang TERPUJI ialah AL-QUR’AN..
PENASIHAT yang TERPUJI ialah AS-SUNNAH..
HARTA yang TERPUJI ialah KEIMANAN..SELAWAT..


“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah aku ini Tuhanmu?" mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuban kami), Kami menjadi saksi". (kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya Kami (Bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)"

(QS. Al-Araf (7):172)

“Sesungguhnya aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, Maka sembahlah aku dan dirikanlah shalat untuk mengingat aku.”

(QS.At-Thaha (20): 14)

(1) Katakanlah: "Dia-lah Allah, yang Maha Esa. (2) Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. (3) Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, (4) dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia."

(QS. Al-Ikhlas (112): 1-4)

JANGAN JADI UMAT BUIH

Ahad, 19 September 2010

Kawasan semak jadi sarang maksiat

KUALA KETIL – Keadaan semak samun di belakang rumah kedai Taman Tanjung Puteri di sini mewujudkan kebimbangan kepada penduduk.

Ia berikutan, terdapat segelintir remaja mengambil kesempatan melakukan perkara yang tidak berfaedah di kawasan berkenaan.

Azhar Abdul Kadir, 39, berkata, dia sendiri pernah terserempak dengan pasangan remaja yang sedang melakukan maksiat di dalam semak yang terlindung oleh pohon-pohon kecil.

Menurutnya, dia terdengar bunyi di dalam semak dan ketika menghampiri, pasangan itu terus melarikan diri.

“Kita bimbang dengan keadaan ini jika ia menular kepada remaja lain, apatah lagi semak ini hanya beberapa meter daripada rumah penduduk dan berdekatan dengan surau.

“Kalau dapat dibersihkan pihak berwajib, maka maksiat dapat dielakkan dan demi menjaga nama baik taman ini juga,” katanya.

Menurutnya, selain gejala maksiat, keadaan semak samun ini juga akan mengundang risiko haiwan-haiwan berbisa seperti ular, kala jengking dan sebagainya.

“Penduduk turut membuang sampah berhampiran kawasan ini dan kita bimbang jika ada di antara mereka dipatuk ular atau disengat haiwan berbisa lain.

“Saya juga berniaga berdekatan dengan kawasan ini, dan pernah melihat ular senduk yang besar menyusup masuk ke dalam semak,” katanya.

Azhar berkata, penduduk berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera memandangkan keadaan semak itu sudah lama terbiar.

“Kita tidak mahu bila sudah ada perkara tidak diingini berlaku, barulah pihak berkenaan tampil menjalankan tugas sedangkan mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

“Sekurang-kurangnya dengan kerjasama mereka, penduduk akan berasa lebih selamat sekaligus masalah berkenaan juga dapat dielakkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Khamis, 16 September 2010

Bunuh Kejam: Kami Yakin Islam Penyelesaian Terbaik

Kes bunuh Sosilawati bukan hanya sekadar kes bunuh biasa. Ia ada kaitan dengan motif persaingan perniagaan. Bukan sahaja dibunuh tetapi dengan penuh kejam-dipukul, ditikam, dibakar dan dibuang abu ke merata tempat seperti yang dilaporkan oleh media. Bukan sahaja Sosilawati tetapi mengheret sama peguam, pegawai bank dan pemandunya. (pelbagai artikel/berita tentang kes ini)

Begitu juga suspek yang membunuh, bukan penagih dadah atau kanak-kanak yang melihat aksi ganas dalam kartun sahaja tetapi seorang peguam yang dikatakan ada minat menyertai MIC sebelumnya dan rakan-rakan lain yang bersubahat. Kes bunuh ini menyusuli kes-kes bunuh yang lain-Teo Beng Hock yang masih lagi dalam siasatan tentang cara kematiannya, atau kes bunuh saudara sendiri di Negeri Sembilan yang suspeknya terlepas dari hukuman kerana dianggap kurang siuman, atau kes bunuh Altantuya Shaaribu yang hingga sekarang masih banyak misteri di sebaliknya belum terungkai sebagaimana misteri 11 September.

Masih selamat lagikah Malaysia ini dari pembunuhan kejam seperti ini? Tentu ramai ahli korporat dan jutawan tak senang duduk-Jutawan kosmetik, jutawan kilang elektronik, jutawan kerana guna kedudukan politik. Harta, kedudukan, perniagaan, aset mereka menjadi tempat intaian perompak, penculik, penyamun professional.

Alang-alang merompak, biar sejuta ringgit. Alang-alang membunuh, biar ditikam, dibakar, dibuang abu. Alang-alang menculik, biar pampasannya jutaan ringgit. Barangkali inilah falsafah penjenayah yang tidak takutkan undang-undang ini.

Kalau dikatakan indeks jenayah turun melalui NKRA yang dibuat, ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Indeksnya mungkin turun tapi cara jenayahnya makin kejam dan sangat mengerikan. Dalam kamus ada perkataan ‘amuk’, tapi biasanya amuk itu dengan parang, keris, tombak zaman dahulu. ‘Amuk’ nafsu cara moden gunakan C4 atau bakar hingga jadi abu. Dalam sebuah temuramah dengan seorang pengamal undang-undang di TV, beliau mengatakan bukti forensik kukuh diperlukan untuk menyabitkan suspek yang dibunuh. Dengan kata lain, kalau tiada bukti kukuh, sekalipun suspek telah mengaku dia yang membunuh, maka dia terlepas dari hukuman?

Dalam Undang-undang keterangan Islam, mengaku atau disebut ikrar adalah bukti paling kuat. Itupun perlu dilihat bersama faktor-faktor lain tentunya seperti tiada deraan ketika dalam tahanan polis, tiada paksaan untuk mengaku salah, atau diupah oleh penguasa tertinggi untuk mengaku salah dan dijamin lepas dan sebagainya. Bukti forensik adalah qarinah yang sangat membantu penyiasatan bagi menyabitkan suspek tetapi ia bukan bukti utama. Ini masih boleh dibahaskan kerana ada juga sarjana Islam yang menjadikan qarinah sebagai bukti yang utama. Demikian juga dalam isu qisas yang menjadi hak waliyuddam atau mereka yang punya hak untuk memberi kata putus tentang bunuh balas, menerima diat/pampasan atau memaafkan, sedangkan perkara ini dinafikan dalam undang-undang di Malaysia.

Apa-apa sekalipun perbahasan fiqhnya, kami sebagai ahli, penyokong dan pendokong PAS semenjak dahulu, kini dan selamanya sentiasa dan tetap yakin bahawa undang-undang jenayah Islam yang terbaik, dengan syarat ia mesti dilaksanakan secara holistik bersama dengan sistem-sistem Islam yang lain bagi membaiki sistem politik yang sangat zalim, sistem ekonomi yang sangat tenat, sistem sosial yang sangat parah- dan bukan secara terpinggir atau serpihan.

Pendirian ini adalah konsisten walaupun ditentang oleh UMNO atau sebahagian mereka yang jahil tentang hakikat Islam dalam badan politik atau NGO tertentu. Pendirian ini boleh dilihat melalui ucapan, lisan, tulisan para pemimpin PAS dan pendokongnya sepanjang masa.

Di atas keyakinan kami kepada Islam sebagai penyelesai masalah inilah kami berjuang, pertahan dan berusaha mengajak masyarakat agar semuanya mendapat keamanan dan keselamatan hakiki, bukan sahaja dari penjenayah kejam, tetapi juga dari penyangak politik dan penyamun harta rakyat, keselamatan dan keamanan di dunia dan di Akhirat. Dan inilah yang menjadi mesej kami cukup jelas dari moto kami ‘Islam Adil Untuk Semua’

Khamis, 9 September 2010

SALAM AIDILFITRI


ASSALAMUALAIKUM KEPADA SELURUH MUSLIMIN DAN MUSLIMAT

KAMI WARGA PKWR DUN KUALA KETIL MENGUCAPKAN

-SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN-

سلامت هاري راي عيدالفطري.. معاف ظاهير دان باطين.. كل عام وأنتم بخير كڤد سلوروه اومت اسلام...
تقبل الله منا ومنكم

DARIPADA:

YB MD ZUKI DAN WARGA KERJA PKWR KUALA KETIL