WELCOME


Khamis, 16 September 2010

Bunuh Kejam: Kami Yakin Islam Penyelesaian Terbaik

Kes bunuh Sosilawati bukan hanya sekadar kes bunuh biasa. Ia ada kaitan dengan motif persaingan perniagaan. Bukan sahaja dibunuh tetapi dengan penuh kejam-dipukul, ditikam, dibakar dan dibuang abu ke merata tempat seperti yang dilaporkan oleh media. Bukan sahaja Sosilawati tetapi mengheret sama peguam, pegawai bank dan pemandunya. (pelbagai artikel/berita tentang kes ini)

Begitu juga suspek yang membunuh, bukan penagih dadah atau kanak-kanak yang melihat aksi ganas dalam kartun sahaja tetapi seorang peguam yang dikatakan ada minat menyertai MIC sebelumnya dan rakan-rakan lain yang bersubahat. Kes bunuh ini menyusuli kes-kes bunuh yang lain-Teo Beng Hock yang masih lagi dalam siasatan tentang cara kematiannya, atau kes bunuh saudara sendiri di Negeri Sembilan yang suspeknya terlepas dari hukuman kerana dianggap kurang siuman, atau kes bunuh Altantuya Shaaribu yang hingga sekarang masih banyak misteri di sebaliknya belum terungkai sebagaimana misteri 11 September.

Masih selamat lagikah Malaysia ini dari pembunuhan kejam seperti ini? Tentu ramai ahli korporat dan jutawan tak senang duduk-Jutawan kosmetik, jutawan kilang elektronik, jutawan kerana guna kedudukan politik. Harta, kedudukan, perniagaan, aset mereka menjadi tempat intaian perompak, penculik, penyamun professional.

Alang-alang merompak, biar sejuta ringgit. Alang-alang membunuh, biar ditikam, dibakar, dibuang abu. Alang-alang menculik, biar pampasannya jutaan ringgit. Barangkali inilah falsafah penjenayah yang tidak takutkan undang-undang ini.

Kalau dikatakan indeks jenayah turun melalui NKRA yang dibuat, ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Indeksnya mungkin turun tapi cara jenayahnya makin kejam dan sangat mengerikan. Dalam kamus ada perkataan ‘amuk’, tapi biasanya amuk itu dengan parang, keris, tombak zaman dahulu. ‘Amuk’ nafsu cara moden gunakan C4 atau bakar hingga jadi abu. Dalam sebuah temuramah dengan seorang pengamal undang-undang di TV, beliau mengatakan bukti forensik kukuh diperlukan untuk menyabitkan suspek yang dibunuh. Dengan kata lain, kalau tiada bukti kukuh, sekalipun suspek telah mengaku dia yang membunuh, maka dia terlepas dari hukuman?

Dalam Undang-undang keterangan Islam, mengaku atau disebut ikrar adalah bukti paling kuat. Itupun perlu dilihat bersama faktor-faktor lain tentunya seperti tiada deraan ketika dalam tahanan polis, tiada paksaan untuk mengaku salah, atau diupah oleh penguasa tertinggi untuk mengaku salah dan dijamin lepas dan sebagainya. Bukti forensik adalah qarinah yang sangat membantu penyiasatan bagi menyabitkan suspek tetapi ia bukan bukti utama. Ini masih boleh dibahaskan kerana ada juga sarjana Islam yang menjadikan qarinah sebagai bukti yang utama. Demikian juga dalam isu qisas yang menjadi hak waliyuddam atau mereka yang punya hak untuk memberi kata putus tentang bunuh balas, menerima diat/pampasan atau memaafkan, sedangkan perkara ini dinafikan dalam undang-undang di Malaysia.

Apa-apa sekalipun perbahasan fiqhnya, kami sebagai ahli, penyokong dan pendokong PAS semenjak dahulu, kini dan selamanya sentiasa dan tetap yakin bahawa undang-undang jenayah Islam yang terbaik, dengan syarat ia mesti dilaksanakan secara holistik bersama dengan sistem-sistem Islam yang lain bagi membaiki sistem politik yang sangat zalim, sistem ekonomi yang sangat tenat, sistem sosial yang sangat parah- dan bukan secara terpinggir atau serpihan.

Pendirian ini adalah konsisten walaupun ditentang oleh UMNO atau sebahagian mereka yang jahil tentang hakikat Islam dalam badan politik atau NGO tertentu. Pendirian ini boleh dilihat melalui ucapan, lisan, tulisan para pemimpin PAS dan pendokongnya sepanjang masa.

Di atas keyakinan kami kepada Islam sebagai penyelesai masalah inilah kami berjuang, pertahan dan berusaha mengajak masyarakat agar semuanya mendapat keamanan dan keselamatan hakiki, bukan sahaja dari penjenayah kejam, tetapi juga dari penyangak politik dan penyamun harta rakyat, keselamatan dan keamanan di dunia dan di Akhirat. Dan inilah yang menjadi mesej kami cukup jelas dari moto kami ‘Islam Adil Untuk Semua’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan