WELCOME


Ahad, 19 September 2010

Kawasan semak jadi sarang maksiat

KUALA KETIL – Keadaan semak samun di belakang rumah kedai Taman Tanjung Puteri di sini mewujudkan kebimbangan kepada penduduk.

Ia berikutan, terdapat segelintir remaja mengambil kesempatan melakukan perkara yang tidak berfaedah di kawasan berkenaan.

Azhar Abdul Kadir, 39, berkata, dia sendiri pernah terserempak dengan pasangan remaja yang sedang melakukan maksiat di dalam semak yang terlindung oleh pohon-pohon kecil.

Menurutnya, dia terdengar bunyi di dalam semak dan ketika menghampiri, pasangan itu terus melarikan diri.

“Kita bimbang dengan keadaan ini jika ia menular kepada remaja lain, apatah lagi semak ini hanya beberapa meter daripada rumah penduduk dan berdekatan dengan surau.

“Kalau dapat dibersihkan pihak berwajib, maka maksiat dapat dielakkan dan demi menjaga nama baik taman ini juga,” katanya.

Menurutnya, selain gejala maksiat, keadaan semak samun ini juga akan mengundang risiko haiwan-haiwan berbisa seperti ular, kala jengking dan sebagainya.

“Penduduk turut membuang sampah berhampiran kawasan ini dan kita bimbang jika ada di antara mereka dipatuk ular atau disengat haiwan berbisa lain.

“Saya juga berniaga berdekatan dengan kawasan ini, dan pernah melihat ular senduk yang besar menyusup masuk ke dalam semak,” katanya.

Azhar berkata, penduduk berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera memandangkan keadaan semak itu sudah lama terbiar.

“Kita tidak mahu bila sudah ada perkara tidak diingini berlaku, barulah pihak berkenaan tampil menjalankan tugas sedangkan mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

“Sekurang-kurangnya dengan kerjasama mereka, penduduk akan berasa lebih selamat sekaligus masalah berkenaan juga dapat dielakkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan