WELCOME


Khamis, 29 September 2011

Sambutan Ulang Tahun ke 60 PAS

UTUSAN nie macam nak hina ALI RUSTAM saja..!!

Penduduk terseksa menunggu jambatan baru Jalan Air Keroh

BEBERAPA orang penduduk merangkak ketika menyeberangi sebatang anak sungai semalam, selepas jambatan asal dirobohkan untuk diganti dengan jambatan baru di Jalan Air Keroh di Kampung Bukit Senggeh, Nyalas, Jasin, Melaka.

JASIN 29 Sept. - Perkhabaran pembinaan jambatan baru bagi menggantikan jambatan yang rosak awal tahun lalu begitu menggembirakan penduduk Jalan Air Keroh di Kampung Bukit Senggeh di sini.

Senyuman penduduk juga tidak lekang dari bibir apabila melihat kontraktor mula sibuk memecah jambatan lama dan memunggah pembentung konkrit untuk menyiapkan jambatan baru yang dikatakan hanya mengambil masa tiga minggu untuk siap.

Namun, entah apa yang tidak kena, kegembiraan penduduk di situ tidak lama apabila kerja-kerja pembinaan jambatan terbabit yang didakwa penduduk berjalan hanya sehari, tiba-tiba dihentikan dan kini membebankan pula penduduk.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Jamaliah Yusof, 57, berkata, masalah tersebut menyebabkan penduduk terputus hubungan dengan masyarakat luar dan sukar untuk melaksanakan urusan harian dengan sempurna.

Katanya, masalah itu lebih memberi tekanan kepada keluarganya kerana menyukarkan penghantaran suaminya, Mohd. Isa Yusuf, 64, ke Hospital Jasin akibat diserang penyakit lemah jantung malam kelmarin.

''Anak-anak terpaksa menggunakan laluan ladang getah yang tidak boleh dilalui langsung oleh kenderaan tetapi kami tiada pilihan terpaksa kerana perlu segera menghantar suami ke hospital," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Katanya, sejak lebih dua minggu, penduduk di situ terpaksa menggunakan laluan getah tersebut untuk keluar menjalankan aktiviti harian termasuklah anak perempuannya yang berulang-alik kerana bekerja di pusat bandar seawal pukul 6 pagi.

Bagi Ibrahim Yusuf, 47, projek pembinaan jambatan baru yang terbengkalai sejak lebih dua minggu itu banyak menimbulkan kesulitan kepada penduduk, khususnya pelajar yang ingin ke sekolah.

''Saya hairan, kalau tidak boleh disiapkan segera atau tidak cukup peruntukan, kenapa tergesa-gesa robohkan jambatan lama.

''Jambatan lama itu hanya rosak kecil dan boleh dibaiki sedikit untuk sementara waktu, kalau terus dibiarkan masalah ini berlaku, susahlah penduduk kampung untuk menjalankan kerja harian," katanya.

Sementara itu, Biramah Beekandaya, 73, berkata, dia dan cucunya berusia lima tahun terpaksa 'merangkak' melalui laluan kecil yang dibuat sendiri oleh penduduk setiap kali menghantar cucu ke Tadika Kemas di kampung itu.

''Mak cik sudahlah uzur tetapi terpaksa melalui juga laluan sempit dan berbukit di tapak projek pembinaan jambatan baru itu, kami perlu merangkak melaluinya, kalau tidak, boleh terjatuh kerana laluannya agak bercerun," katanya.

Tegasnya, penduduk terdedah dengan keadaan berbahaya kerana keadaan tapak projek yang dipenuhi pembentung konkrit, malah apabila waktu hujan, laluan di situ termasuk ladang getah langsung tidak boleh digunakan sebagai laluan.

PAS: ‘Yang halang laksana hudud Umno, bukan DAP’

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Susulan mesyuarat Pakatan Rakyat kelmarin, PAS menegaskan yang menghalang pelaksanaan hukum hudud adalah Umno bukannya DAP — rakan komponen dalam perikatan mereka berusia tiga tahun.

Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, PAS mengakui DAP mempunyai pandangan berbeza dalam soal pelaksanaan hudud dan pendirian mereka dalam tidak menyokong sistem perundangan syarak.

“Akan tetapi, ini bukanlah perkara pelik kerana mereka bukan beragama Islam dan tiada tuntutan syarak ke atas mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

“DAP berpendapat ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana kes-kes jenayah mesti berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil, bukan di mahkamah Syariah.

“Mereka juga berpendapat enakmen ini memerlukan pindaan Perlembagaan bagi menguatkuasakannya,” katanya.

Oleh itu kata Tuan Ibrahim, jelas yang menghalang ialah Perlembagaan Persekutuan yang dimomok Umno selama 54 tahun dan bukannya DAP.

“DAP tidak menyokong kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan,” kata Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim menambah, PAS memperakui perlunya bidang kuasa mahkamah syariah diangkat bagi menepati tuntutan syarak dalam pelaksanaan sistem perundangan ini.

“Namun, ruang dan bidang kuasa kerajaan negeri yang telah meluluskan enakmen ini juga perlu diperakui dan diiktiraf. Situasi ini amat berbeza dengan Umno yang beragama Islam dan mempunyai kewajipan syarak dalam melaksanakannya,” katanya lagi.

Pesuruhjaya PAS Pahang ini juga berkata, Umno yang mengaku dirinya Islam dan telah diberi kuasa pemerintahan selama lebih 54 tahun sepatutnya mesti bersedia memikul tanggungjawab ini untuk menyediakan negara ke arah kesediaan untuk melaksanakan hukum Allah.

“Ini bukan. Umno masih mengatakan negara masih belum mampu melaksanakannya. Ini jelas mencerminkan kegagalan Umno dalam memastikan pelaksanaan syariat Allah di negara ini,” tambah beliau.

Kelmarin, Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas hukum hudud yang muncul kembali sebagai isu ‘panas’ minggu lalu tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa hukum hudud bukan sebahagian daripada dasar Pakatan Rakyat dan bantahan DAP perlu dihormati.

“Ya, ya. Sangat jelas ia perlu bersama,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini menjawab soalan sama ada pelaksanaan hukum hudud memerlukan persetujuan sebulat suara kesemua tiga parti dalam perikatan itu.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, Anwar, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata mesyuarat Pakatan Rakyat malam tadi memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, dasar bersama dan Buku Jingga.

Justeru kata Tuan Ibrahim, keputusan yang dibuat Pakatan Rakyat kelmarin ternyata jauh lebih baik daripada pendirian Umno yang terus menolak hukum hudud sebagaimana kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Minggu lalu Najib menegaskan hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini manakala timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno tidak menolak hudud tetapi kini bukan masanya untuk melaksanakan pendekatan itu.

“Sebagai ‘damage control’ ekoran kenyataan presiden mereka, ramai pemimpin Umno bergesa-gesa berkata mereka secara dasarnya menyokong hudud tapi menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum Allah ini.

“Lima puluh empat tahun memerintah tapi dalam keadaan kononnya menyokong hudud, Umno masih menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum hudud. Jadi jelaslah selama ini, merekalah penghalang sebenar daripada pelaksanaan hukum Allah,” kata beliau lagi.

Tuan Ibrahim juga memberitahu, pendirian orang bukan Islam “tidak menyokong” dan orang Islam yang “menghalang” amat beza darjatnya dalam isu pelaksanaan hukum hudud ini.

Beliau juga berkata, kini sikap menghalang Umno itu bertambah nyata apabila berhadapan tekanan MCA dan Gerakan yang terang terangan mengugut akan keluar dari gabungan BN seandainya Umno menerima hukum hudud.

MCA dan Gerakan hanya ugut nak keluar BN jika Umno nak laksana hudud kononnya ingin menjaga hak orang bukan Melayu, kata beliau sambil menambah, “tapi tidak pula kedengaran MCA dan Gerakan ugut nak keluar BN semasa Umno dan Perkasa sering menindas hak dan menggertak kaum bukan Melayu.”

“Bukankah itu menjadikan ugutan tersebut amat hiprokrit?” katanya lagi.

“Namun, hipokrit MCA dan Gerakan tidak setanding Umno. Apabila tercetus isu ini, Timbalan Presiden Umno terus menyatakan Umno turut menyokong hudud. Selepas ugutan MCA dan Gerakan, Najib terus mengisytiharkan tidak akan melaksanakan hukum Allah ini di Malaysia,” katanya lagi.

Oleh itu tambah Tuan Ibrahim, siap hipokrit Umno menyebabkan rakyat beragama Islam kini menuntut satu perisytiharan bila parti teras BN itu akan bersedia melaksanakan sistem perundangan syarak ini.

“Perisytiharan Umno ini juga sudah tentunya menyebabkan masyarakat Islam menuntut para ulamak dan ilmuan agama khususnya, untuk berfikir kewajaran mereka untuk terus berada dan menyokong Umno,” kata beliau.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-yang-halang-laksana-hudud-umno-bukan-dap
 

Takut pada kezaliman Umno BN, bukannya hudud

Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 30 Sept: Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh menegaskan bahawa warga Malaysia bukan Islam hanya perlu takut kepada kezaliman yang dilakukan oleh Umno ke atas mereka dan statistik kadar jenayah sepanjang 54 tahun negara merdeka.

Menurutnya, orang bukan Islam tidak perlu takut dan bimbang kepada hukum hudud kerana ianya hanya terbatas perlaksanaannya ke atas umat Islam sahaja dan tidak melibatkan mereka.

Jelasnya, orang bukan Islam diberikan pilihan untuk memilih undang-undang hudud sekiranya itu adalah pilihan mereka.

“Non Muslim tak perlu gusar dengan hukum hudud, yang perlu mereka bimbang dan takut ialah kezaliman Umno BN yang telah dilakukan sepanjang 54 tahun kita merdeka, kezaliman Umno sudah pun terbukti dan diketahui umum, namun hudud pasti akan menjamin keadilan,” kata beliau.

Katanya, kalau dilihat kadar jenayah yang berlaku di negara ini, ia amat menggerunkan.

Tambahnya, ini adalah sangat tidak baik untuk keselamatan rakyat Malaysia dan akan memberikan ancaman kepada perkembangan ekonomi negara.

“Bukan Islam juga perlu tahu bahawa mereka tidak tertakluk kepada undang-undang hudud ini, namun kita tidak menyekat permintaan mereka sekiranya mereka meminta supaya diadili dengan hukum hudud, kita tahu ramai bukan Islam juga turut menyokong perlaksanaan hukum hudud,”tambah beliau lagi.

Justeru, beliau turut meminta pihak bukan Islam agar tidak campur tangan dalam urusan berkaitan dengan Islam yang telah terjamin keistimewaannya dalam perlembagaan sebagai agama rasmi negara.

Hudud: Antara ‘tidak menyokong’ dan ‘menghalang’

Tuan Ibrahim Tuan Man

Sesungguhnya Allah akan bagi dugaan berdasarkan kemampuan seseorang untuk menerimanya.

Keputusan mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) kali ini mencatatkan sejarah tersendiri kerana telah berjaya memincang isu utama yang menyentuh secara langsung pendirian PR.

Hasil perbincangan yang memakan masa lebih tiga jam itu telah merumuskan satu keputusan yang akan memperteguhkan lagi hubungan PR walaupun berhadapan dengan isu yang rumit. Ternyata cubaan Umno-BN sekali lagi gagal memecah-belahkan PR dalam isu ini.

Pendirian PR dalam memperakui Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 membuktikan PR telah bertindak dengan penuh cermat dan berhemah dalam mencari penyelesaian terbaik dalam isu pelaksanaan hudud.

Perakuan ini bermakna PR memperakui bahawa undang- undang jenayah syariah yang dilulus oleh kedua- dua dewan negeri telah melalui prosedur yang betul, menepati kehendak dalam sistem demokrasi.

Sehubungan itu, perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993, dan Enakman Jenayah Syariah Terengganu 2003 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut.

Persoalan sekarang ialah sejauhmana kesediaan pusat untuk memberi kebenaran untuk pelaksanaan merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan.

Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang dibawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulanglah kepada kerajaan kelantan bagi mengazetkan undang-undang tersebut.

Antara “Tidak menyokong” dengan “Penghalang”

PAS mengakui DAP mempunyai pandangan berbeza dalam soal ini dan pendirian mereka dalam tidak menyokong sistem perundangan syarak. Akan tetapi, ini bukanlah perkara pelik kerana mereka bukan beragama Islam dan tiada tuntutan syarak ke atas mereka.

DAP berpendapat ianya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana kes-kes jenayah mesti berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil, bukan di mahkamah Syariah.

Mereka juga berpendapat enakmen ini memerlukan pindaan Perlembagaan bagi menguat-kuasakannya.

Jadi jelas, yang menghalang ialah Perlembagaan Persekutuan yang dimomok Umno selama 54 tahun, dan bukannya DAP. DAP tidak menyokong kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

PAS memperakui perlunya bidang kuasa mahkamah syariah diangkat bagi menepati tuntutan syarak dalam pelaksanaan sistem perundangan ini. Namun, ruang dan bidang kuasa kerajaan negeri yang telah meluluskan enakmen ini juga perlu diperakui dan diiktiraf.

Situasi ini amat berbeza dengan Umno yang beragama Islam dan mempunyai kewajipan syarak dalam melaksanakannya.

Tambahan pula, Umno, yang mengaku dirinya Islam dan telah diberi kuasa pemerintahan selama lebih 54 tahun sepatutnya mesti bersedia memikul tanggungjawab ini untuk menyediakan negara ke arah kesediaan untuk melaksanakan hukum Allah.

Ini bukan. Umno masih mengatakan negara masih belum mampu melaksanakannya. Ini jelas mencerminkan kegagalan Umno dalam memastikan pelaksanaan syariat Allah di negara ini.

Keputusan yang dibuat PR ternyata jauh lebih baik dari pendirian Umno yang terus menolak hukum hudud sebagaimana kenyataan perdana menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Sebagai damage control ekoran kenyataan presiden mereka, ramai pemimpin Umno bergesa-gesa berkata mereka secara dasarnya menyokong hudud tapi menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum Allah ini.

54 tahun memerintah tapi dalam keadaan kononya menyokong hudud, Umno masih menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum hudud. Jadi jelaslah selama ini, merekalah penghalang sebenar daripada pelaksanaan hukum Allah.

Pendirian orang bukan Islam “tidak menyokong” dan orang Islam yang “menghalang” amat beza darjatnya dalam isu pelaksanaan hukum hudud ini.

Hipokrit Umno dan BN

Kini, sikap menghalang Umno itu bertambah nyata kini apabila berhadapan tekanan dari MCA dan Gerakan yang terang terangan mengugut akan keluar dari gabungan Barisan Nasional (BN) seandainya Umno menerima hukum hudud.

MCA dan Gerakan hanya ugut nak keluar BN jika Umno nak laksana hudud kononnya ingin menjaga hak orang bukan Melayu. Tapi, tidak pula kedengaran MCA dan Gerakan ugut nak keluar BN semasa Umno dan Perkasa sering menindas hak dan menggertak kaum bukan Melayu. Bukankah itu menjadikan ugutan tersebut amat hiprokrit?

Namun, hipokrit MCA dan Gerakan tidak setanding Umno. Apabila tercetus isu ini, Timbalan Presiden Umno terus menyatakan Umno turut menyokong hudud. Selepas ugutan MCA dan Gerakan, Najib terus mengisytiharkan tidak akan melaksanakan hukum Allah ini di Malaysia.

Sikap hipokrit Umno menyebabkan rakyat beragama Islam kini menuntut satu perisytiharan bilakah Umno akan bersedia melaksanakan sistem perundangan syarak ini? Perisytiharan Umno ini juga sudah tentunya menyebabkan masyarakat Islam menuntut para ulamak dan ilmuan agama khususnya, untuk berfikir kewajaran mereka untuk terus berada dan menyokong Umno.

Hudud bukan isu politik

PAS ingin tegaskan bahawa isu hudud bukanlah isu politik tetapi ianya tuntutan syarak ke atas kerajaan yang memerintah. Kerana itu, kerajaan Kelantan secara konsisten telah melakukan pelbagai cara bagi menimbulkan kesedaran rakyat terhadap kewajipan menerima dan melaksanakannya selama ini.

Pelbagai seminar, diskusi, forum, wacana dan ceramah tentang enakmen hudud telah diadakan setiap tahun. Kerana itu, bilamana isu hudud timbul dan dipolemikkan oleh media Umno, rakyat Kelantan samada Islam atau bukan Islam langsung tidak termakan dengan polemik tersebut, kerana mereka telah biasa dengan isu ini.

Menteri Besar Kelantan telah menjelaskan perkara ini berpuluh kali bahawa beliau ingin melaksanakan sistem perundangan syarak ini kerana amanah yang terpikul di atas bahunya di akhirat.

Bahkan, kalau diamati beberapa langkah kerajaan negeri dalam pelaksanaan pembangunan Kelantan selaras dengan syarak tidaklah menguntungkan politik PAS di Kelantan - sebagai contoh tindakan menutup premis perjudian, kelab malam, disco dan mengehadkan penjualan arak; semua ini dari sudut politik ia bukanlah menguntungkan PAS.

Tindakan ini menyebabkan semua yang terlibat samada taukeh judi, kaki judi, disco dan lainnya tidak akan memberi undi kepada PAS, kerana mereka akan menentang peraturan ini. Namun, kerajaan Kelantan terus melaksanakannya semata-mata kerana tuntutan syarak.

PAS melihat keputusan yang telah dibuat oleh PR memberi ruang pengiktirafan dalam lingkungan demokrasi. Keputusan rakyat Kelantan untuk menerima PAS sebagai parti yang mewakili mereka, serta tindakan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang telah meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 adalah hak dan dalam bidang kuasa mereka.

Bagi PAS, isu yang dipertikai adalah apakah perundangan syariah itu menepati kehendak perlembagaan atau berlawanan dengan kehendak perlembagaan negara, dan ini mestilah ditentukan oleh mereka yang berautoriti.

Jaminan PAS

PAS akan cuba menegakkan syariat Allah sedaya upaya dalam kerangka demokrasi yang ada. PAS sesekali tidak akan menjadi seperti Umno yang mengalah terus untuk menunaikan syariat Islam tanpa sebarang usaha yang ikhlas. Orang yang sikap mengalah tidak akan mencari jalan penyelesaian. Maka dengan Umno, masyarakat Islam bolehlah lupakan sahaja syariat Allah dapat ditegakkan.

PAS memberi jaminan tidak akan memaksa orang bukan Islam menerima hudud secara paksa. PAS juga ingin menegaskan di sini, hudud hanya melibatkan orang Islam sekiranya ia dapat dilaksanakan dalam kerangka demokrasi yang ada.

Namun, diharap rakyat dapat memahami situasi amat berlainan di negeri Kelantan, kerana rakyat Kelantan ingin hukum hudud dilaksanakan. Hak dan keinginan rakyat Kelantan harus dihormati.

*Tuan Ibrahim Tuan Man adalah Ketua Penerangan PAS

Isnin, 5 September 2011

Tentang media perdana yang 'berfoya-foya'

oleh YB Firdaus Jaafar

Media seharusnya menjadi medan kepada rakyat untuk mengetahui isu-isu semasa. Media sepatutnya menjadi tempat rujukan bagi mendapatkan berita-berita terkini yang dapat membuka minda rakyat.

Rakyat yang dahagakan infomasi serta maklumat terkini yang lengkap serta adil sepatutnya dihidangkan dengan sesuatu yang mana akan membuka ruang fikiran rakyat dengan lebih luas dan membolehkan rakyat bertindak mengikut akal bukannya nafsu semata-mata.

Tambahan pula media arus perdana berdepan dengan saingan sengit daripada portal-portal berita yang 'bersepah' di internet. Jadi seharusnya media arus perdana menjadi pemangkin kepada ketelusan dalam menyiarkan berita-berita yang bersifat membina 'sistem' pemikiran rakyat.

Namun ini tidak terjadi di Malaysia yang sentiasa melaungkan slogan 'kebebasan media' yang kononnya memberikan berita yang 'tidak memihak' kepada mana-mana parti ataupun individu.

Media arus perdana bebas 'menghentam' dan 'membelasah' mana-mana parti atau individu yang tidak sealiran dengan parti pemerintah.

Utusan Malaysia dan TV3 dilihat lebih terkehadapan dalam mengeluarkan berita walaupun kadang-kadang berita yang disiarkan itu belum tentu sahih.

Ada kalanya mereka hanya bersandarkan berita yang dikutip daripada blog-blog 'picisan' penulis upahan Umno/BN lalu di war-warkan sehingga menjadi tajuk utama media mereka.

Mulut, tangan, kaki terikat

Sekadar mengambil contoh apabila mereka mensensasikan tajuk 'kristian agama rasmi negara' jelas menunjukkan bahawa cubaan untuk 'meniup api' perkauman dikalangan rakyat yang hidup berbilang bangsa serta harmoni.

Yang terbaru bagaimana Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu atau dikenali dengan Mat Sabu dihentam setiap waktu kononnya beliau dalam satu ceramahnya menyokong pergerakan komunis di dalam peristiwa Bukit Kepong.

Media arus perdana terus memainkan isu tersebut dengan serangan bertali arus terhadap beliau sedangkan dalam masa yang sama mulut, tangan dan kaki beliau 'diikat'.

Kenapa tidak diberi peluang untuk beliau muncul di media arus perdana untuk membela diri daripada serangan bertubi-tubi sedangkan media 'berfoya-foya' dalam 'menjaja' berita berkaitan isu ini?

Mat Sabu hanya berpeluang menjawab kembali serangan terhadap beliau hanya di dalam portal-portal berita di internet yang mana liputannya amat terhad.

Sudah pasti tindakan media arus perdana seperti ini didalangi oleh 'tangan-tangan ghaib' yang menjalankan kerja disebalik tabir.

Mereka tidak menghiraukan samada berita yang akan dikeluarkan nanti sahih atau tidak tetapi hanya mengambil kira keuntungan politik yang bakal diperolehi daripada pihak pemerintah.

Slogan tinggal slogan

Media arus perdana harus berubah. Sesuatu mesti dilakukan untuk mendapatkan kembali integriti yang sudah tiada lagi disisi majoriti rakyat Malaysia.

Rakyat sudah mula beralih kepada media alternatif kerana muak dengan 'perangai' dan 'kelakuan' media arus perdana yang terus menerus menabur fitnah demi untuk survival politik Umno/BN yang semakin terhakis.

Apakah di situ ada keberkatan sekiranya perbuatan memfitnah dan pembohongan menjadi salah satu agenda utama? Mengapa mufti-mufti yang begitu ramai di dalam negara yang sekecil Malaysia ini tidak bersuara untuk menegur 'kebiadapan' media arus perdana yang terang-terang melanggar apa yang diajarkan dalam al-Quran dan Hadis?

Sedangkan dalam masa yang sama mereka juga bersama-sama mewar-warkan bahawa Malaysia sebuah negara Islam. Tidak malukah apabila menulis atau menyiarkan sesuatu yang tidak benar dan dalam masa yang sama rakyat mengetahui kesahihannya?

Apakah pembaca berita tidak ada sedikit pun rasa bersalah ketika berhadapan dengan rakyat yang dibohonginya atas hanya bersandarkan alasan cari makan?

Tema Hari Kemerdekaan yang ke-54 iaitu "1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera" tidak akan mencapai sasarannya selagi media tidak mahu melakukan transformasi dan yang pasti slogan hanya akan tinggal slogan selagi mana Umno/BN terus memerintah.

Penulis merupakan anggota parlimen Jerai dan pengerusi lajnah pengguna dan alam sekitar Pemuda PAS.

Warganegara segera lebih bahaya dari Komunis

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Memberikan hak warganegara kepada warga asing dan seterusnya mendaftarkan mereka sebagai pemilih adalah lebih bahaya dari pengganas Komunis, kata Salahudin Ayub.

"Kita nak beritahu kepada Umno BN, memberikan warganegara kepada warga asing dan mendaftarkan mereka sebagai pemilih lebih bahaya dari pengganas Komunis," kata Naib Presiden PAS itu kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian sebagai membidas tindakan Umno BN yang menyerang Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam isu Mat Indera.

Mohamad pada satu ceramahnya sebelum ini mendakwa Mat Indera sebagai pejuang sebenar menentang penjajah dengan menyerang British di rumah pasung Bukit Kepong.

Umno bagaimanapun menuduh Mat Indera sebagai pengkhianat bangsa kerana bersekongkol dengan Komunis dalam serangan itu sekaligus menghentam Mohamad yang membela perjuangan Mat Indera.

Mengulas lanjut Salahudin berkata, Umno menggunakan isu tersebut semata-mata bagi menutup isu pemberian MyKad kepada pemegang kad merah yang didedahkan Pakatan Rakyat sebelum ini.

PAS dan pelbagai pihak sebelum ini mendedahkan wujudnya sendikit memberikan taraf warganegara kepada penduduk tetap dan didaftarkan sebagai pengundi dipercayai untuk Pilihan Raya Umum ke-13.

Perkara itu dikesan melalui semakan dalam Sistem Pendaftaran Negara (JPN) yang mendapati sehingga suku kedua (Mac-Jun) 2011, terdapat 1,108 kes pemegang kad pengenalan Merah diberikan MyKad khususnya di Selangor.

Turut menggemparkan negara sebelum ini, pertukaran status warganegara dalam masa singkat iaitu penduduk tetap pada sebelah pagi dan bertukar menjadi warganegara sebelah petang.

Ekoran itu, ahli parlimen Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanggil sidang Khas Parlimen.

Najib bagaimanapun enggan berbuat demikian dan hanya mengumumkan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi Pembaharuan Sistem Pilihan Raya

Timbalan menteri besar bukan ambil alih kuasa

ALOR SETAR 5 Sept. - Jawatan Timbalan Menteri Besar (TMB) yang dicadang diwujudkan di negeri ini bukanlah bertujuan untuk mengambil alih tugas sepenuhnya, sebaliknya adalah untuk meringankan beban yang dipikul pemimpin tertinggi negeri itu.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang berkata, kerajaan negeri seharusnya bersikap lebih terbuka dan mempertimbangkan cadangan terbabit demi menjaga kestabilan pentadbiran negeri sekiranya Menteri besar tidak dapat berfungsi secara tiba-tiba akibat kemalangan atau jatuh sakit.

"Kita tidak tahu bila akan ditimpa penyakit atau kemalangan, dengan adanya orang kedua (TMB), sekurang-kurangnya kita tidak akan kelam kabut kalau berlaku kejadian tidak diingini ini.

"Kalau tidak berlaku kemalangan pun, Timbalan Menteri Besar boleh membantu meringankan beban Menteri Besar yang kita semua maklum mempunyai beban tugas yang sangat besar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun untuk mewujudkan jawatan TMB adalah tertakluk kepada perkenan Sultan, ia bukanlah alasan untuk menangguhkan pelaksanaannya kerana setiap undang-undang boleh digubal pada bila-bila masa. - Bernama

Mat Sabu serah Pemuda PAS 'urus' KJ.. Ada ka Timb Presiden Nak debat dengan Ketua Pemuda...!!

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyerahkan tugas kepada Pemuda PAS Johor untuk berdebat dengan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berhubung isu sekitar peristiwa Bukit Kepong dan sejarah prakemerdekaan.

Dengan sinis, Mohamad (bawah) berkata beliau tidak menolak pelawaan itu sebaliknya kedua-dua sayap PAS dan Umno itu lebih sesuai berbuat demikian.

"Saya tidak tolak (berdebat). (Tetapi) biar Pemuda dengan Pemuda (berdebat) kerana mereka layak," katanya lagi.

Menurutnya, Pemuda PAS Johor 'layak' berdepan Khairy kerana peristiwa serangan yang diketuai bekas pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) Muhammad Indera itu berlaku di balai polis Bukit Kepong, di negeri itu.

"Saya serah kepada Pemuda PAS. Dia (Khairy) seorang yang bijak dan saya hormati. Biar dia berdepan dengan Pemuda PAS," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Isu pensejarahan kemerdekaan berbangkit apabila Mohamad menjadi sasaran serangan selepas dilapor berkata penyerang balai polis Bukit Kepong Muhammad Indera sebagai wira sebenar.

Rentetan laporan itu, Mohamad Sabu menjadi sasaran serangan di media arus perdana apabila beliau dituntut meminta maaf secara terbuka dan dikenakan tindakan bawah Akta Hasutan.

Bagi menjawabnya, kelmarin, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencabar Umno berdebat secara terbuka mengenai tajuk "Siapakah layak digelar pejuang kemerdekaan sebenarnya?".

Bagaimanapun, setakat ini tidak jelas siapa akan berdebat dengan siapa apabila Tuan Ibrahim berkata pihaknya akan menghantar jemputan kepada Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dalam masa terdekat.

Dalam masa yang sama, Khairy dilaporkan menerima jemputan kerajaan Kelantan bagi tujuan itu yang akan berlangsung di Kota Bharu akhir bulan ini untuk berdebat dengan Mohamad.

Akhbar web PAS Harakahdaily pula melaporkan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan bersedia berdebat secara ilmiah dengan Khairy berhubung perkara itu