WELCOME


Isnin, 5 September 2011

Timbalan menteri besar bukan ambil alih kuasa

ALOR SETAR 5 Sept. - Jawatan Timbalan Menteri Besar (TMB) yang dicadang diwujudkan di negeri ini bukanlah bertujuan untuk mengambil alih tugas sepenuhnya, sebaliknya adalah untuk meringankan beban yang dipikul pemimpin tertinggi negeri itu.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang berkata, kerajaan negeri seharusnya bersikap lebih terbuka dan mempertimbangkan cadangan terbabit demi menjaga kestabilan pentadbiran negeri sekiranya Menteri besar tidak dapat berfungsi secara tiba-tiba akibat kemalangan atau jatuh sakit.

"Kita tidak tahu bila akan ditimpa penyakit atau kemalangan, dengan adanya orang kedua (TMB), sekurang-kurangnya kita tidak akan kelam kabut kalau berlaku kejadian tidak diingini ini.

"Kalau tidak berlaku kemalangan pun, Timbalan Menteri Besar boleh membantu meringankan beban Menteri Besar yang kita semua maklum mempunyai beban tugas yang sangat besar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun untuk mewujudkan jawatan TMB adalah tertakluk kepada perkenan Sultan, ia bukanlah alasan untuk menangguhkan pelaksanaannya kerana setiap undang-undang boleh digubal pada bila-bila masa. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan