WELCOME


Rabu, 9 Februari 2011

Perghh Bela ikan Puyu pun mampu dapat sampai RM40000

Projek ternak puyu pulangan lumayan
SINGKIR LAUT - Koperasi Pembangunan Negeri Kedah Berhad dengan kerjasama Bumi Great Resources Sdn Bhd melancarkan projek ternakan ikan puyu yang disertai sembilan koperasi dalam daerah ini yang mampu memberi pulangan sebanyak RM40,000 bagi setiap lima bulan.

Projek yang bertempat di Singkir Laut ini melibatkan sejumlah 165,000 anak ikan pada fasa pertama dan jumlah itu akan meningkat dari masa ke semasa selepas pembinaan kolam baru pada fasa seterusnya.

Pengarah projeknya, Mohd Nasaruddin Abu Hasan berkata, projek tersebut bawah program ‘Contact Farming’.

“Sebanyak dua kolam dibina khas untuk projek penternakan ikan puyu ini dan anggaran kos untuk projek ini pula adalah bernilai RM80,000,” katanya.

Tempat penternakan strategik

Menurut Mohd Nasaruddin, tapak projek terletak di tempat yang strategik dan mampu memberikan persekitaran lebih baik kepada ternakan ikan puyu sekaligus mengurangkan risiko kematian.

“Tempat ini strategik kerana saliran air boleh diperoleh dari bukit dan sistem perparitan juga sempurna. Selain itu, projek ini turut dilengkapi dengan kemudahan asas seperti elektrik, air, telefon dan tempat pengurusan projek.

“Perkara ini mampu menghasilkan kualiti penjagaan yang baik dan pastinya akan dapat menghasilkan ternakan yang lebih berkualiti,” katanya.

Mohd Nasaruddin berkata, projek ternakan ikan puyu berpotensi untuk memberikan pulangan kepada koperasi yang melabur.

“Ramai tidak sedar bahawa puyu mempunyai rasa sedap dan isinya lembut. Disebabkan itu, ia mendapat permintaan tinggi dari pembeli dan pemborong.

“Selain itu, ternakan puyu ini juga berpotensi berikutan permintaan tinggi dari pasaran luar seperti Thailand,” katanya.

Pelepasan pertama 80,000 benih puyu

Sementara itu, Mohd Nasaruddin berkata, pelepasan benih puyu peringkat pertama pada 23 Disember tahun lalu.

“Pada tarikh itu, beberapa wakil dari koperasi yang melabur telah melawat kolam yang bakal untuk penternakan puyu ini.

“Wakil dari Bumi Great Resources Sdn Bhd, Fauzi Mohd Yunus turut memberikan penerangan kepada wakil koperasi mengenai cara penternakan puyu dengan betul,” katanya.

Mohd Nasaruddin berkata, pada peringkat pertama, sebanyak 80,000 benih ikan puyu dilepaskan pada kolam pertama.

“Benih puyu ini didatangkan khas dari Thailand berukuran 1 sehingga 2 inci. Benih Thailand ini mampu menghasilkan puyu yang lebih besar dan pastinya mendapat pasaran di negara luar,” katanya.

Menurutnya, pelepasan benih puyu peringkat kedua pula adalah pada 26 Disember lalu.

“Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kedah, Zainun Hamzan Stapa turut hadir bersama wakil koperasi lain untuk melepaskan benih puyu peringkat kedua.

“Kira-kira 70,00 benih ikan puyu telah dilepaskan pada kolam yang kedua. Jumlah keseluruhan puyu pada kedua-dua kolam adalah 150,000. Tambahan 15,000 benih ikan puyu adalah bonus dari pihak Great Resources Sdn Bhd,” katanya.

Menurutnya, pelabur tidak perlu risau mengenai pasaran kerana perjanjian telah termeterai untuk memastikan pasaran ini akan dieksport ke Thailand.

“Selepas ikan puyu mencapai usia matang, semua akan dipasarkan ke Thailand. Jumlah pendapatan dianggarkan RM120,000. Jumlah perbelanjaan pula adalah RM80,000. Maka, untung bersih dianggarkan kira-kira RM40,000 selepas ditolak kos lain,” katanya.

Terdapat pelbagai khasiat

Ikan puyu mempunyai pelbagai khasiat antaranya adalah untuk meningkatkan tenaga lelaki.

Mohd Nasaruddin berkata, bagi wanita pula, ikan puyu mampu melambatkan proses penuaan dan dapat menahan dari serangan penyakit.

Menurutnya, sekiranya fasa ini berjaya seperti yang dirancang, pihaknya akan menambahkan lagi pelaburan untuk kolam baru dengan penglibatan lebih banyak koperasi.

Mohd Nasaruddin berkata, sekiranya dibenarkan Kerajaan Negeri dan tuan tanah, pihaknya akan menjadikan tempat ini sebagai Agro Tourism.

“Kita telah merancang untuk mewujudkan kolam memancing, restoran terapung, chalet dan penglibatan orang kampung dengan menyediakan homestay,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan