ALOR SETAR, 27 Februari - Lebih 800 pelajar dari pelbagai universiti di Mesir bersama keluarga masing-masing berkongsi kegembiraan apabila Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mengumumkan penajaan mereka balik ke Mesir bagi meneruskan pelajaran.
Para pelajar ini pulang ke tanah air menerusi Ops Piramid disebabkan rusuhan kumpulan penentang kerajaan Mesir bagi menggulingkan Presiden Hosni Mubarak tempoh hari.
Kegembiraan yang terpancar di wajah para pelajar serta ibu bapa mereka bertambah-tambah apabila YAB Dato’ Seri Ustaz Azzian mengumumkan setiap pelajar berkenaan akan menerima RM500 sebagai wang belanja atau duit poket.
Majlis perjumpaan pelajar Mesir dengan YAB Menteri Besar Kedah diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar anjuran Yayasan Islam Negeri Kedah (Yink) dihadiri lebih 2000 orang termasuklah para pelajar dan keluarga masing-masing.
Dalam ucapannya YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan berkata, sebanyak RM2.5 juta telah diperuntukan bagi menghantar mereka balik ke Mesir bertolak dari Alor Setar dengan bas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ujarnya, Kerajaan Negeri telah menyewa tiga pesawat Egypt Air untuk membawa para pelajar ini dengan empat penerbangan mulai 5 hingga 10 Mac ini. Penerbangan pertama pada 5 Mac ini membawa 224 pelajar diikuti penerbangan kedua seramai 222 pelajar, ketiga 222 pelajar dan selebihnya menerusi penerbangan ke empat.
“Kamu semua balik dan bersiap-siap datang pada 5 Mac ini berkumpul di Wisma Darul Aman dan bertolak dari sini ke KLIA, bye! bye di sini,” katanya disambut dengan tepukan kegembiraan seluruh hadirin.
Namun begitu, katanya, para pelajar terbabit hendaklah menunjukkan passport masing-masing kepada pihak pengurusan iaitu Yink bagi memastikan kepulangan mereka adalah menerusi Ops Piramid dan bukan secara kebetulan balik bercuti atau pulang melangsungkan perkahwinan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan