WELCOME


Jumaat, 17 Disember 2010

Pas masih tunggu respon SPR


ALOR SETAR - Pas Kedah mempertikaikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana masih belum menerima maklum balas berhubung bantahan yang dibuat mengenai pendaftaran pemilih baru di Kedah bagi suku ketiga, yang didakwa berlaku penipuan.

Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, bantahan yang dibuat Oktober lalu seolah dipandang remeh SPR, malah didakwa tidak berpandukan prosedur yang digariskan SPR apabila pihak yang membuat bantahan tidak dipanggil untuk soal siasat.

“Saya hairan kerana sehingga hari ini, tiada maklum balas daripada SPR mengenai isu ini, sedangkan bantahan telah dikemukakan secara rasmi. Saya masih menunggu jawapan daripada SPR berhubung dakwaan yang saya dedahkan itu,” katanya, ketika dihubungi.

Pada 19 November lalu, Azizan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap SPR berhubung pendaftaran pemilih baru di Kedah bagi suku ketiga, yang dipamerkan 27 Oktober lalu kerana didakwa berlaku penipuan.

Azizan berkata, pihaknya telah pun membuat bantahan rasmi terhadap SPR, mendakwa penipuan daftar pemilih berlaku di beberapa kawasan di negeri ini, antaranya di Kem Bukit Kayu Hitam, serta Kompeni Batalion 304 Askar Wataniah di Belantek dan Kem Gubir, membabitkan isteri-isteri anggota tentera.

Azizan mendakwa SPR tidak telus kerana berdasarkan daftar pemilih yang dipamerkan itu, nama-nama pengundi baru terbabit adalah isteri-isteri anggota tentera. Turut menimbulkan keraguan apabila terdapat nama yang dipamerkan itu menetap di kawasan lain, tetapi namanya didaftarkan di kem tersebut.

“Sepatutnya wakil kita yang membuat bantahan sudah dipanggil untuk beri keterangan dan tunjukkan bukti. Sampai sekarang saya masih tunggu, jangan fikir kami berdiam diri bermakna sudah lupa dan akan ketepikan isu itu, saya akan tetap bangkitkan semula apabila tiba masanya nanti,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan memberi lebih masa kepada SPR untuk meneliti perkara terbabit, namun tidak menetapkan tempoh tertentu, sebaliknya bercadang mengambil tindakan susulan yang lebih serius sekiranya perkara itu tidak diberi perhatian.

“Buat masa ini saya hanya mahu tunggu jawapan SPR, jika mereka masih tidak endah, saya akan fikirkan cara lain,” katanya.[Sinar Harian]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan