WELCOME


Ahad, 5 Disember 2010

1280.5 hektar Tanah Simpanan Melayu hilang di bawah kerajaan BN yg lalu




Ditulis oleh ZULKIFLI YAHAYA

ALOR SETAR - Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Ir. Phahrolrazi Zawawi membuat pendedahan mengejutkan di Sidang DUN apabila mendakwa sebanyak 1280.5 hektar Tanah Simpanan Melayu hilang atau tidak berganti apabila berlaku pengubahan status Simpanan Melayu kepada Pegangan Bebas (free hold).

Menurutnya, Tanah Simpanan Melayu yang terdapat ialah sebanyak 870,105.80 hektar. Daripada jumlah tersebut sebanyak 4845.22 hektar ditukar status ke free hold untuk perumahan.

“Sepatutnya tanah tersebut diswapping (tukar ganti) dengan keluasan yang sama, tetapi yang diganti cuma 3564.72 hektar, bermakna berlaku kehilangan Tanah Simpanan Melayu sebanyak 1280.5 hektar,” ujarnya.

Dalam isu yang sama beliau turut mendedahkan mengenai peratus peruntukan kadar perumahan yang diselewengkan dari maksud asal yang berlaku di bawah kerajaan lalu.

“Sepatutnya mengikut syarat yang ditetapkan, 30 peratus adalah untuk Bumiputera dan 70 peratus adalah terbuka tapi berlaku ‘lepas pandang’ (kerajaan lalu) 30 peratus untuk jualan Bumiputera manakala 70 peratus untuk bukan Bumiputera,” terangnya.

Kesilapan tersebut berlaku dalam tempoh yang lama dan hanya dibetulkan oleh kerajaan sekarang.

Ketua Pembangkang YB. Dato’ Seri Mahdzir Khalid (BN-Pedu) yang kelihatan tidak berpuashati bangun mendapatkan penjelasan.

Dato’ Ir. Phahrolrazi menegaskan bahawa beliau mempunyai bukti yang jelas di mana butiran tersebut tercatat dalam syarat perjanjian yang diberikan kepada pemaju dan beliau bersedia untuk mendedahkan bukti tersebut.

Menjawab soalan YB. Dr. Cheah Soon Hai (BN-Derga) yang mendakwa 30 kuota jualan rumah untuk Bumiputera sukar untuk dibeli oleh Bumiputera, Dato’ Ir. Phahrolrazi menafikan dakwaan tersebut.

“Teorinya macam tu lah, tapi bila Bumiputera pi tanya pemaju nak beli rumah semua dah habis,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan