250 mangsa banjir terima alat sekolah
ALOR SETAR 17 Dis. - Seramai 250 pelajar yang menjadi mangsa banjir menerima bantuan peralatan persekolahan daripada Kumpulan Petronas pada satu program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, di sini hari ini.
Kesemua pelajar yang terlibat menerima bantuan berupa beg sekolah, alat tulis dan wang tunai RM100 setiap seorang daripada Petronas dan anak-anak syarikatnya bagi membantu mereka membuat persiapan untuk memulakan sesi persekolahan baru mulai 2 Januari ini.
Mereka merupakan mangsa-mangsa banjir dari daerah Kubang Pasu, Padang Terap dan Kota Setar dan dikenal pasti oleh JKM negeri untuk menerima bantuan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Fertilizer (Kedah) Sdn. Bhd. yang mewakili Kumpulan Petronas, Wan Azhar Lotfi Wan Yusof berkata, banjir besar yang melanda negeri ini dan Perlis awal bulan lalu bukan sahaja mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda, tetapi turut menjejaskan kelangsungan hidup segelintir mangsa.
Katanya, Petronas memahami kesulitan yang ditanggung oleh keluarga mangsa-mangsa banjir tersebut termasuk perlu berbelanja bagi membeli kelengkapan persekolahan anak masing-masing.
"Program ini merupakan usaha Petronas untuk meringankan beban keluarga mangsa-mangsa banjir dan memberikan keceriaan kepada anak-anak mereka dalam membuat persiapan untuk kembali ke sekolah.
''Kami juga berharap dengan sumbangan ini dapat menaikkan lagi semangat pelajar untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada pendidikan mereka agar menjadi modal insan yang cemerlang," katanya pada program Kembali Ke Sekolah Petronas sempena bantuan kepada anak-anak mangsa banjir Kedah di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah II JKM negeri, Zakaria Taib.
Menurut Wan Azhar, sumbangan itu adalah sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat Petronas kepada mereka yang memerlukan bantuan.
Katanya, semasa banjir berlaku, Petronas Dagangan Berhad (PDB) turut menyumbangkan sebanyak 220 silinder tong gas kepada pusat-pusat penempatan banjir di negeri ini dan Perlis untuk memasak.
"Kami berharap, program-program seumpama ini akan mengeratkan lagi hubungan syarikat ini dengan masyarakat setempat dan mendorong kami meneruskan inisiatif kemasyarakatan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial Petronas," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan