WELCOME


Selasa, 26 Julai 2011

SPR: Kami tiada kuasa, hanya Putrajaya boleh tunai tuntutan Bersih 2.0


Wan Ahmad Wan Omar (kiri) menjawab soalan hadirin pada Wacana Apa Selepas 9 Julai anjuran Kumpulan Media Karangkraf hari ini. — Foto oleh Choo Choy May
SHAH ALAM, 26 Julai — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengemukakan lapan tuntutan berkaitan pembaharuan sistem pilihan raya kepada Putrajaya, bukannya kepada agensi itu.
Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, lapan tuntutan itu boleh dilaksanakan di bawah kuasa kerajaan pemerintah.
Jelas beliau, SPR tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melaksanakan lapan tuntutan itu kerana ia terikat dengan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

“SPR ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan sebagai badan mengurus pilihan raya, kita bukan badan penguatkuasaan ... kita tiada kuasa.
“Kita disokong beberapa akta lain seperti Akta Polis, Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Rahsia Rasmi dan beberapa akta lain yang mana apabila kita mengadakan pilihan raya kita bukan hanya dikawal oleh peraturan sendiri tapi turut dikawal undang-undang lain ... jadi janganlah salahkan kita,” kata Wan Ahmad pada program bertajuk “Apa Selepas 9 Julai” anjuran Kumpulan Media Karangkraf.

Justeru tegas beliau, SPR tidak mempunyai kuasa menguatkuasakan dan menolak tanggungjawab meminda undang-undang pilihan raya kepada Jabatan Peguam Negara.

“SPR bukan badan yang buat undang-undang, apa yang kita boleh lakukan adalah cadangkan undang-undang ini kepada Peguam Negara ... Peguam Negara yang akan buat draf undang-undang sebelum bawa ia ke Parlimen untuk dibahaskan.

“Proses buat undang-undang daripada SPR kepada Peguam Negara, Peguam Negara kepada Parlimen ... kalau nak tukar sistem pilihan raya, ia melibatkan dasar kerajaan dan hanya pemerintah sedia ada yang boleh lakukan.

“Kalau anda (Pakatan Rakyat) memerintah juga sama, jangan aggap SPR sebagai musuh,” katanya di hadapan kira-kira 300 orang.

Turut menjadi panel wacana kali ini ialah Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevesan dan penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan