WELCOME

Ahad, 17 Julai 2011

Isu Pusat Hiburan - Asri & Harussani suruh negeri lain contohi usaha Kedah


SHAH ALAM – Semua negeri patut mencontohi usaha Kerajaan Negeri Kedah yang melarang pusat-pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, operasi pusat hiburan secara terbuka patut dihentikan bagi menghormati kesucian bulan Ramadan dan bagi mengelakkan umat Islam terjebak dalam kancah maksiat.

“Kita mahu semua premis dibuka di kawasan awam ditutup sepanjang bulan mulia nanti, kita tidak halang golongan bukan Islam untuk berhibur, tetapi berhibur di kawasan tertutup, bukan di kawasan terbuka.

“Bulan Ramadan, bulan untuk mendidik umatnya berakhlak mulia. Semua agama mahukan penganutnya berkelakuan sempurna. Jadi, larangan ini tidak mendatangkan sebarang masalah untuk dikuatkuasakan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, penganut agama lain di negara ini perlu faham dan menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara yang telah termaktub dalam Per�lembagaan Persekutuan serta diterima semua pihak.

“Islam adalah agama rasmi, ag:ama lain di negara ini juga perlu faham dan hormati bulan-bulan mulia yang ada dalam agama Islam. Dulu, semua pihak setuju agama Islam sebagai agama rasmi, sekarang jangan khianati pula.

“Banyak manfaat sekiranya kita laksanakan enakmen ini. Kita harus bermoral dan berakhlak mulia, sekiranya akhlak kita sama sebagaimana haiwan, lebih baik jadi haiwan sahaja,” tegasnya.

Sementara itu, bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Asri Zainal Abidin berkata, beliau memuji cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak itu bagaimanapun, pelaksanaannya perlu dikaji dengan lebih teliti.

“Dalam hal ini saya cadangkan Kerajaan Negeri mengenakan tindakan terhadap premis hiburan yang pelanggannya orang Islam. Sekiranya tiada pelanggan Islam yang masuk, mereka dibenarkan beroperasi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan