WELCOME


Selasa, 7 Jun 2011

Penjelasan Negara Berkebajikan PAS/Pakatan Rakyat oleh YB Husam Musa


Pasir Puteh, 7 Jun, - Selepas solat Zohor petang tadi, YB Dato’ Husam Musa telah diraikan oleh PAS Kawasan Pasir Puteh dalam satu majlis kesyukuran sempena kemenangan beliau sebagai Naib Presiden PAS dalam pemilihan muktamar baru-baru ini. Majlis makan tengahari itu adalah majlis pertama yang diadakan selepas muktamar PAS dan YB Dato’ diberikan kesempatan untuk memberikan ucapan.

Ucapan dimulakan dengan mengajak seluruh penyokong PAS untuk sama-sama meletakkan syukur dalam setiap apa yang berlaku. YB Dato’ memetik beberapa kisah yang tedapat dalam al-Quran berkenaan dengan perlakuan syukur sebagaimana yang dilakukan oleh nabi-nabi terdahulu.

Kuasa adalah antara nikmat yang perlu disyukuri dan perlakuan ini boleh diteladani melalui sirah nabi Daud, Sulaiman, Yusof, Musa dan nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam.
Kuasa yang diberikan oleh Allah untuk menguruskan keadilan dan kebajikan rakyat adalah menjadi tugas para rasul. Dengan menganalogikan bahawa sebagimana adilnya Allah Subhanahu Wataala dengan menyediakan akhirat sebagai tempat balasan keadilan di dunia. Keadilan itulah yang dijelmakan dalam bentuk Negara berkebajikan sejak zaman nabi Adam Alaihissalam.

Dalam ucapan ringkas itu, persoalan Negara berkebajikan dijadikan isu penting untuk diberikan kefahaman kepada rakyat. Kebajikan dalam kontekas yang luas. YB Dato’ memberikan klausa sentimental dengan meletakkan perhatian dan sikap ambil berat kerajaan adalah metod paling ringkas tetapi sedang dilupakan oleh pemerintah hari ini.
Berkongsi masalah dan perasaan orang-orang susah yang memerlukan dan berkongsi ilmu untuk menjadikan rakyat berilmu adalah contoh kecil negara berkebajikan yang diperjuangkan oleh PAS dalam manifesto ini sebagai menunjukkan penghargaan dan bantuan dalam bentuk moral. Negara berkebajikan adalah khusus untuk rakyat dan ini adalah tuntutan Islam. Kebajikan dalam bentuk material dan spiritual.

“Negara berkebajikan adalah negara Islam sebagaimana nama Allah yang banyak. Jika sebut Allah maka ia merujuk kepada Allah Yang Disembah dan kita juga boleh memanggilnya dengan nama-nama yang lain contohnya Ar Rahman.”

Beliau menganalogikan negara berkebajikan dengan negara Islam dalam perkara yang sama dengan analogi nama Allah dengan nama-nama yang lain sebagaimana dalam Asma’ Al-Husna. Begitu juga dengan nama nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang dipanggil dengan pelbagai gelaran dan al-Quran juga mempunyai banyak nama. Justeru memilih menggunakan nama lain yang membawa maksud yang sama adalah diharuskan selagi intipati kepada perkara tersebut adalah benda sama.

Diakhir ucapan, penegasan tentang PAS akan terus kemited memperjuangkan kepimpinan ulamak dan pakatan yang dibentuk dalam muktamar kali ini akan sentiasa membantu kepimpinan Tuan Guru Presiden.

Beliau sempat menyindir pemimpinan media dan ahli UMNO yang sering dilihat membuat onar setiap kali Muktamar Tahunan PAS dan kali ini dengan menggunakan media perdana yang ada untuk mensensasikan propanganda PAS sebagai menolak kepimpinan ulamak.

“PAS sejak tahun 1983 telah dipimpin oleh ulamak dan dasar itu sampai ke hari ini. Kalau benar UMNO mahu kepimpinan ulamak kenapa tidak sokong Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Kelantan dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi di Terengganu.” Kata beliau yang mengundang ketawa para tetamu yang hadir.

- www.husammusa.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan