WELCOME


Ahad, 10 April 2011

Wanita bangkit menentang pornografi dalam masyarakat

Ditulis oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

SUNGAI PETANI – Timbalan Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) Pusat, Dr Hafidzah Mustakim mengajak kepada kaum ibu di negara ini untuk bangkit menentang akhbar-akhbar pornografi yang boleh merosakkan generasi kanak-kanak dan remaja.

Beliau berkata demikian berikutan sebuah akhbar tempatan bertarikh 5 April 2011 memaparkan gambar berunsur lucah yang boleh mempengaruhi anak-anak muda kita mengetahui dengan lebih mendalam ataupun lebih teruk lagi mencubanya.

“Hari ini kita kaum ibu perlu bangkit untuk menentang akhbar-akhbar pornografi seperti yang berlaku pada akhbar baru-baru ini yang menayangkan gambar yang tak sepatutnya digembarkan kepada umum,” ujar beliau pada Ucaptama Hari Wanita 2011 anjuran Wanita IKRAM Sungai Petani yang diadakan di Pusat Pendidikan Al Islah, di sini.

Tambah beliau, tujuan penyebaran gambar tersebut tidak patut dilakukan kerana ianya terdedah kepada semua masyarakat termasuk kanak-kanak dan remaja yang membacanya, akhirnya bakal mempengaruhi akhlak mereka.

“Tak patut sebar video dan gambar lucah iaitu untuk anak-anak kita, tetapi ianya lebih kepada kepentingan politik sesetengah pihak semata-mata.

“Suratkhabar itu tak layak untuk kita baca, malah untuk bungkus nasi lemak pun tak layak, tetapi sesuai untuk membungkus bahan-bahan yang menjijikkan.

“Dah lama saya tak beli suratkhabar itu, pada hari tu saya ambil suratkhabar itu dan lihat tajuk besar muka depannya, terus saya ikatnya dan buang agar anak saya tak dapat melihatnya,” jelas beliau yang juga Ketua Wanita IKRAM Kota Bharu.

Media harus sedar peranan mendidik yang perlu dimainkan oleh mereka. Berita yang dilaporkan di akhbar harus berunsurkan motif mendidik masyarakat serta membanteras jenayah yang sama berulang dan bukan sebaliknya. Majalah yang diterbitkan harus mempunyai motif yang jelas, bukan sekadar menyebarluaskan gosip dengan selitan gambar-gambar yang memberahikan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan