ALOR SETAR, 28 Mac 2011 – Krisis kemanusian yang menyebabkan keruntuhan akhlak dan moral golongan muda khususnya menjadi kebimbangan ibu bapa dan masyarakat sekarang ini. Oleh itu peranan guru-guru agama sangat penting dalam mewujudkan masyarakat Islam yang berilmu serta beramal dengan ilmunya.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abd Razak di Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri kepada sekolah-sekolah HESA dan pondok-pondok. “Masyarakat khususnya ibu bapa tidak risau tentang masalah ekonomi. Negara kita tiada gempa bumi, makanan cukup, peluang pekerjaan ada, tetapi masyarakat kita bimbang dengan masalah sosial yang semakin serius sekarang ini. Mereka tidak mahu anak mereka jadi Mat Rempit, ketagih arak, perogol, perompak dan lain-lain.
“Sekolah-sekolah agama menjadi pilihan mereka sekarang kerana mereka yakin pendidikan di sekolah agama dapat membentuk anak-anak mereka menjadi anak yang soleh, berilmu, mendokong nilai Islam dan kemanusian,” katanya. Tambah beliau, kerajaan negeri menyediakan peruntukan besar kepada pendidikan agama terutama kepada sekolah-sekolah di bawah Jabatan Agama. Walau pun kebajikan sekolah-sekolah tersebut diambil alih oleh kerajaan pusat namun tidak diberi perhatian yang sewajarnya.
Sekolah-sekolah agama rakyat tidak dipinggirkan oleh kerajaan negeri. Kerajaan negeri berusaha membantu dari masa ke semasa untuk mempastikan kelicinan perjalanan sekolah-sekolah tersebut, tambah beliau lagi. “Kita tolong semua cuma mungkin mengambil masa sedikit. Kita harap semua guru-guru beristiqamah dan teruskan usaha melahirkan generasi faham Islam dan celik Islam,” ujarnya. Dalam ucapannya lagi, beliau menyarankan sekolah-sekolah pondok khususnya membuat penambahbaikan samada dari segi penyampaian ilmu dan pasarana sekolah.
Beliau memberi contoh sekolah-sekolah pondok di Indonesia (pasentrian) yang mengekalkan ciri-ciri tradisi dalam penyampaian ilmu tetapi dalam pada masa yang sama mewujudkan sistem-sistem baru dan terkini untuk penambahbaikan. “Saya harap guru-guru agama ini menjadi golongan Toi’fah iaitu kumpulan yang menolong masyarakat. Dapat membantu masyarakat mengenal Islam dari pelbagai sudut. Kalau boleh kita nak buang fahaman masyarakat yang mengatakan belajar di sekolah agama susah dapat kerja.
“Sistem sekolah pondok ini akan diperkemaskan untuk menjadikan ianya pusat penyediaan pelajar yang berilmu, Kita akan memperbanyakkan institusi pendidikan Islam dan akan mengkaji perubahan-perubahan dalam masyarakat,” katanya. Kerajaan berhasrat mewujudkan pembangunan yang seimbang antara pembangunan kebendaan dan pembangunan insan. Pembangunan sosial, ekonomi, fizikal, keluarga, akhlak, keselamatan dan kebendaan perlu diseimbangkan. Pembangunan yang tidak seimbang akan mewujudkan masyarakat yang tidak bermoral dan derhaka kepada Allah.
Untuk merealisasikan hasrat kerajaan negeri, sebuah sekolah tahfiz sains akan dibuka di Pulau Tuba dan pengambilan pelajar akan bermula pada 2012. Suasana yang selesa di pulau tersebut sangat sesuai untuk menghafal Al-Quran, tambah beliau. “ Kita akan temukan ulama moden dan ulama tradisional. Pendidikan tradisional di peringkat pondok, dan moden di peringkat universiti.
Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang kita bina di Kuala Ketil boleh menampung sepuluh ribu pelajar. Mata pelajaran utamanya Islam, di samping ilmu-ilmu fadhu kifayah,” katanya. Dalam ucapannya juga, beliau berjanji kerajaan negeri akan terus membantu sekolah-sekolah pondok dan agama rakyat dan mengharapkan semuanya terus beristiqamah di bawah HESA. Beliau seterusnya menyampaikan sumbangan tambahan kepada 58 buah sekolah yang melibatkan 25 buah sekolah pondok dan 33 buah sekolah rendah dan menengah. Kira-kira 300 orang hadir di majlis tersebut yang diadakan di tingkat 1, Hotel Regency, Alor Setar, Kedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan