WELCOME


Ahad, 24 April 2011

Pemilik mempelam Sala boleh jual buah pada Kedah Agro


PENDANG – Rakyat Kedah yang mempunyai pokok mempelam Sala tidak perlu risau apabila berlakunya lambakan buah.

Bagi merealisasikan hasrat Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menjadikan Kedah sebagai Belanda Timur, Kedah Agro Holdings Berhad dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek pengumpulan mempelam Sala.

Ketua Pegawai Operasi Kedah Agro, Wan Kharizal Wan Khazim berkata, projek pengumpulan mempelam Sala ini adalah cetusan idea YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan bagi membantu petani memasarkan buah mempelam sala yang menjadi lambakan apabila tiba musimnya.

“Projek pengumpulan ini menjadi jalan penyelesaian kepada isu lambakan.

“Ini tak bermakna kita tak benarkan orang kampung jual kepada orang lain, mereka boleh jual jika ada orang yang menawarkan dengan harga yang lebih tinggi, kita beli RM1 sekilo,” jelas beliau pada taklimat projek pusat pengumpulan mempelam Sala Kedah di Dewan Majlis Daerah Pendang.

Sebanyak sembilan DUN telah dipilih bagi melaksanakan projek ini dan perlu kerjasama Majlis Ketua Kampung/Komuniti untuk memaklumkan kepada penduduk kampung.

Kedah Agro juga membekalkan peti sejuk beku di pusat pengumpulan dan semua yang terlibat menjayakan projek akan menerima imbuhan masing-masing.

“Pendang merupakan destinasi keempat kami beri taklimat ini, semua yang terlibat menjayakan projek ini akan diberi imbuhan, begitu juga dengan tuan rumah yang menjadikan rumahnya sebagai tempat pengumpulan, dan rumahnya turut dibekalkan dengan peti sejuk beku.

“Penduduk kampung perlu bawa pelam Sala ke pusat pengumpulan, dicuci, dikupas serta buang biji dan dipekkan dalam beg palstik berisi lima kilogram seterusnya disimpan dalam peti sejuk beku dan Kedah Agro datang ambil isi buah dan dibawa ke kilang pemprosesan untuk dijadikan kordial,” ujar beliau.

Projek pusat pengumpulan adalah langkah bagi mengelak pembinaan kilang pemprosesan yang menelan belanja jutaan ringgit.

“Memandangkan buah pelam Sala ini ada mengikut musim, kita melibatkan orang kampung untuk memprosesnya, kerana jika dibina kilang ianya digunakan bila ada musim saja, kalau tak ada kilang tak beroperasi,” jelas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan