WELCOME


Khamis, 1 Julai 2010

Nisbah 1:40 igauan UMNO

ALOR SETAR - Jurang yang sangat besar dalam kalangan Melayu yang tidak mendaftar sebagai pemilih hanya menjadi kebimbangan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana parti itu memerlukan pengundi Melayu untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, senario itu tidak merunsingkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) kerana yakin jurang itu tidak akan menjejaskan undi PR memandangkan sebahagian besar pengundi PR terdiri daripada bukan Melayu.

“Saya berpendapat hanya BN yang risau mengenai jurang ini kerana mereka memerlukan sokongan orang Melayu, memandangkan sokongan bukan Melayu kini lebih memihak kepada PR. Saya percaya pengundi bukan Melayu yang menyokong PR adalah sebahagian daripada nisbah 40 itu,” katanya kepada media, selepas menyaksikan majlis menandatangani (MOU) antara Kolej Universiti Insaniah dan Kolej Islam Darul Ulum (Kidu) Pokok Sena dengan Universiti Scandinavia, cawangan Beirut.

Azizan mengulas kajian oleh Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO yang mendedahkan pendaftaran pengundi baru adalah dalam nisbah satu Melayu dan 40 bukan Melayu.

Ditanya sama ada nisbah yang besar itu akan memberi kesan kepada pilihan raya akan datang, Azizan berkata, PR tidak pernah membezakan pengundi berdasarkan komposisi kaum, sebaliknya kerisauan itu membelenggu UMNO kerana mereka adalah sebuah parti yang menjurus kepada sentimen perkauman.

“Kami tidak pernah gusar berkenaan jurang nisbah itu kerana yakin pengundi kami adalah dari pelbagai kaum. Berbeza UMNO, yang kini ketandusan sokongan Melayu, mereka anggap jika orang Melayu tidak mendaftar sebagai pemilih, orang Melayu tidak akan undi UMNO. Ini kerana mereka sedar bukan Melayu tidak akan mengundi mereka,” katanya.

Azizan berkata, untuk merapatkan jurang itu selain meningkatkan jumlah pengundi baru, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disarankan supaya menggunakan pendekatan lebih berkesan, dengan melaksanakan daftar pemilih secara automatik.

“Sekiranya daftar pemilih secara automatik dilaksanakan setelah usia mencecah 21 tahun, ianya lebih telus dan memudahkan proses pendaftaran pemilih. Sebelum ini kita ada bagi cadangan buat daftar pemilih automatik tetapi tidak dipersetujui SPR. Saya percaya jika dilaksanakan, semua orang tidak pening kepala, sebab ia memudahkan kerja banyak pihak,” katanya.

Mengulas mengenai kesediaan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang akan berkempen menyedarkan golongan muda untuk mendaftar sebagai pemilih, Azizan berkata, itu hak badan itu untuk turut serta namun mereka hendaklah telus dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.

Azizan turut berasa bangga apabila SPR menyatakan DAP adalah parti paling agresif membuat pendaftaran pengundi baru, berbanding parti politik lain.

“Saya harap bukan DAP sahaja agresif, semua kena aktif. Kempen Pas pun aktif sehingga kita dapat tawan lima negeri pada pilihan raya umum lepas. Cuma kita bukannya gemar hebohkan strategi kempen berbanding parti lawan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan