WELCOME


Ahad, 18 Julai 2010

MELANTIK PEMIMPIN YANG TIDAK LAYAK

Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila sesuatu amanah itu di salahgunakan (disia-siakan), maka tunggulah saat kehancuran.” Para sahabat bertanya: “Bagaimana amanah itu disalah gunakan wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Iaitu apabila tugas atau tanggungjawab sebagai pemimpin itu diberikan (diserahkan) kepada bukan ahlinya atau bukan orang yang layak, maka tunggulah saat kehancuran.”

Di dalam hadis tersebut telah mengigatkan dan memberi peringatan kepada setiap individu khususnya ahli majlis syura atau badan perwakilan (parlimen) atau mereka yang terlibat dengan proses pemilihan pemimpin, ketua, pemerintah atau penguasa, melalui pilihanraya atau sebagainya, supaya mereka menilai dan melantik orang yang benar-benar layak memegang teraju pemerintahan atau pentadbiran atau mengendalikan sesuatu organisasi atau jabatan atau badan dan khususnya negara.

Dalam kes ini rakyat dan masyarakat seluruhnya juga dikira terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam perlantikan tersebut dan mereka tidak boleh berlepas tangan atau tidak ambil peduli dalam masalah perlantikan pemimpin. Hal itu kerana pemimpin adalah orang yang bertanggungjawab mencorak dan membentuk sesebuah negara atau orang yang bertanggungjawab mencorak dan membentuk sesebuah negara atau orang yang dipimpinnya sama ada ke arah kemajuan yang bersesuaian dengan Islam atau ke arah kehancuran dan kemusnahan.

Namun begitu, pada hari ini betapa banyak kita dapati dan kita lihat amanah dan jawatan penting serta jawatan utama diserahkan kepada orang yang tidak layak atau tidak mempunyai kelayakan yang sebenar menurut syariat Islam, sedangkan orang yang layak dan mempunyai kelayakan sebenarnya tidak diberi peluang, maka dengan berbuat demikian, sesuatu urusan itu tidak dapat dilaksanakan dan tidak dapat dijalankan dengan sempurna.

Penyerahan kuasa atau perlantikan seseorang pemimpin atau penguasa yang tidak benar-benar layak sudah pastinya tidak dapat melaksanakan tugas dengan baik dan sepatutnya. Dalam konteks ini, pasti ia akan melakukan pengkhianatan dan penyelewengan. Pengkhianat dan penyelewengan itu bukan sahaja dari kalangan pemimpin itu bahkan orang yang bertindak dalam proses perlantikan dan pemilihan pemimpin tersebut melalui pilihanraya dan sebagainya juga dikira sebagai pengkhianat kerana mereka sudah tahu orang yang mereka akan lantik tidak boleh melaksanakan tugas apatah lagi kalau pemilihan tersebut atas dasar sentimen dan fanatik terhadap seseorang pemimpin semata-mata bukan atas dasar kelayakan dan pemilihan yang tepat. Sedangkan amanah itu merupakan satu perkara yang penting dan mesti diserahkan kepada orang yang berhak sebagaimana firman Allah di salam surah al-Nisa’ ayat 58, yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)…”

Sebagaimana dinyatakan dalam hadis tersebut faktor utama kehancuran terhadap sesebuah masyarakat, negara dan agama itu ialah disebabkan perlantikan pemimpin yang tidak layak. Namun disini kelayakan dan faktor kehancuran lain yang menyebabkan berlakunya kehancuran dapat dijelaskan antara lainnya ialah:-

1- Pemimpin yang jahil atau tidak berilmu

Ilmu pengetahun merupakan syarat utama sebagai kelayakan seseorang pemimpin yang dilantik. Justeri itu kiranya pemimpin yang dilantik itu dari kalangan mereka yang tidak berilmu sama ada ilmu keduniaan lebih-lebih lagi ilmu keagamaan akan menyebabkan ia menjalankan kepimpinan berdasarkan nafsu, akal fikiran semata-mata sama ada dalam hal yang berkaitan dengan hukum hakam, fatwa, kemasyarakatan, politik, ekonomi dan pentadbiran. Pemimpin yang jahil sama ada dari kalangan Hakim, Ketua, Kadi, Perdana Menteri, Menteri Besar atau sebagainya, apabila menjalankan urusan pastinya tidak akan mampu berlaku adil bahkan apa yang mereka lakukan adalah menyimpang dari matlamat. Maka pemimpin sebegini sifatnya yang dilantik dalam sesebuah masyarakat adalah pemimpin yang sesat dan menyesatkan orang lain. Sebagaimana hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim :

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dari manusia dengan cara sekaligus tetapi dengan cara mematikan ulama’ sehingga tiada lagi tiggal seorang alimpun. Dengan demikian manusia akan melantik pemimpin-pemimpin yang jahil lalu mereka ditanya dan dia memberi fatwa tanpa ilmu. Mereka itu (pemimpin) sesat dan menyesatkan”

Pemimpin yang jahil juga merupakan salah satu daripada ciri-ciri pemimpin yang dilantik akan menyebabkan huru hara dalam masyarakat dan ia akan menyebabkan masyarakat akan menjadi sesat sebagaimana hadis riwayat Abu Daud:

“Yang aku takuti terhadap umatku ialah dari kalangan pemimpin-pemimpin yang menyesatkan”

2- Pemimpin yang fasiq

Faktor ini akan menyebabkan berlakunya pelbagai huru hara dalam masyarakat seperti berleluasanya rasuah, kezaliman, tipu daya, berdusta, fitnah serta meluasnya gejala maksiat. Bahkan dalam keadaan tertentu seseorang pemimpin yang dilantik dari kalangan mereka yang memiliki sifat keji ini akan menjadi penganjur kepada kemungkaran, yang akhirnya akan merosakkan agama, negara serta rakyat seluruhnya seperti meluasnya perjudian akan menyebabkan banyak berlaku pergaduhan, rompakan dan permusuhan begitu juga meluasnya pusat-pusat hiburan yang menyebabkan bercambahnya pusat-pusat karaoke, pelacuran, pub kasino dan lainnya yang menyebabkan keruntuhan moral, berkesedudukan tanpa nikah, sumbang mahram, Aids, Siplis, keruntuhan rumah tangga, dadah, arak dan sebagainya. Pemimpin yang fasiq juga tidak akan menjunjung syariat Islam dan meremehkan serta memandang rendah hal-hal dan hukum hakam agama dengan menghina hukum Islam seperti mengatan Hukum Islam zalim, menganiaya kaum wanita, menganggap hukum Islam sebagai primitif dan sebagainya.

3- Melantik kerabat atau teman rapat atau kroni

Berkaitan dengan keadaan ini juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kehancuran sesebuah kepimpinan. Hakikatnya perkara ini berlaku kerana kiranya seseorang pemimpin itu dari kalangan orang buruk akhlaknya sudah tentu ia akan melantik pembantu-pembantu atau kaum kerabatnya dari kalangan mereka yang selari dengannya. Dalam keadaan ini juga, perlantikan pemimpin itu tidak boleh secara perwarisan. Justeru itulah dalam sistem kekhalifahan Islam Nabi s.a.w tidak menetapkan siapakah pengganti Baginda dan ia mestilah diserahkan kepada Majlis Syura. Hal ini dapat dijelaskan melalui hadis daripada Abu Bakar yang diriwayatkan oleh al-Hakim:

“Sesiapa yang dilantik sebagai amir atau pembesar terhadap kaum muslimin selepas itu ia melantik pula seorang pegawai dari kalangan orang yang dikasihi (teman atau keluarga) maka baginya kutukan Allah. Allah tidak akan menerima keampunannya sehingga ia memasuki neraka.”

4- Melantik orang kafir sebagai pemimpin.

Islam mengharamkan sama sekali perlantikan pemimpin tertinggi atau apa sahaja ketua yang meliputi semua peringkat dari kalangan orang kafir untuk menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan umat Islam dan agama Islam. Tegahan ini kerana mereka sudah tentu tidak ikhlas dalam kepimpinannya bahkan mereka tidak mengetahui urusan yang berkaitan dengan hal ehwal Islam dan muslim. Walaupun ada sesetengah orang bukan Islam memahami Islam dengan baik, tetapi mereka mendalaminya dengan tujuan untuk menghancurkan Islam seperti Orientalis, Yahudi dan Nasrani. Tegahan mengambil orang kafir sebagai pemimpin atau teman rapat dengan mengenepikan orang Islam dapat dijelaskan melalui firman Allah di dalam surah Ali-Imran ayat 28 yang bermaksud:

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman…”

Kesimpulannya, pada hari ini kita dapati banyak urusan sama ada pentadbiran atau perjawatan atau kepimpinan itu sendiri telah diserahkan atau dilantik daripada kalangan bukan ahlinya. Bukan ahli di sini merangkumi tidak berkelayakan sama ada dari sudut keperibadian, perwatakan, keagamaan atau keilmuan. Apatah lagi dalam sesebuah masyarakat yang mana orang yang layak diketepikan manakala orang yang tidak bertanggungjawab dilantik maka di sana pastinya akan berlaku banyak penyelewengan sama ada dari sudut kuasa atau harta atau keagamaan atau pentadbiran. Justeru itulah banyak kita dapati dalam kes pemimpin yang tidak berkelayakan dan tidak amanah maka berlakulah rasuah, kezaliman, rampasan kuasa, skandal seks dan sebagainya. Yang mana semua itu terkandung dalam erti kata al-sa’ah iaitu kehancuran.

Disebabkan jawatan pemimpin itu satu amanah rakyat dan besar tanggungjawabnya, maka Nabi s.a.w membawa ancaman sekiranya perlantikan pemimpin itu bukan dari kalangan orang yang betul-betul layak, maka tunggu sajalah saat kehancuran.

MENGORAK LANGKAH MEMIMPIN UMMAH
-MUJAHID ISLAM-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan