WELCOME

Rabu, 16 November 2011

Keuntungan projek nenas di Kedah sebanyak RM21.24 juta

Ditulis oleh MUSLIM ABDUL RAZAK

ALOR SETAR, 16 November 2011 – Kedah kini mampu memperoleh keuntungan sebanyak RM21.24 juta daripada pengeluaran nanas dan mempunyai teknologi yang membolehkan nanas ditanam dalam kepadatan yang tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pertanian & Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar & Basmi Kemiskinan, YB Dato’ Amiruddin Hamzah berkata, kini sebanyak 966 hektar tanah ditanam dengan nanas dan pengeluarannya sebanyak 130,417 tan metrik serta keuntungannya mencapai sebanyak RM21.24 juta.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan YB. Dato’ Rohsidi Osman (Bukit Pinang – PAS) mengenai pertanian di Kedah di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah yang ke-12.

“Hasil tanaman nanas setakat ini tidak dieksport ke luar negara dan hanya di jual kepada pemborong-pemborong nanas sahaja. Sebahagiannya diproses di kilang-kilang di negeri ini.

“Kita menjangkakan pada 2015 ini sebanyak 1000 ekar nanas dapat ditanam dan sekarang ini kita sedang menunggu anugerah inovasi bagi penanaman nanas dalam kepadatan tinggi,” terangnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa jika dalam keadaan biasa, dalam sesuatu keluasan, nanas hanya boleh ditanam sebanyak 70 ribu pokok, tetapi dengan inovasi ini nanas dapat ditanam sebanyak 80 ribu hingga 85 ribu pokok.

“Kita sekarang ini sudah mempunyai Persatuan Penanam-Penanam Nanas Kedah yang ketuai oleh Jabatan Pertanian Negeri.

“Melalui persatuan ini maka kita akan dapat memastikan pengeluaran nanas secara berjadual agar tidak berlaku lambakan dan melalui sistem ini juga maka pengeluaran nanas dapat dikeluarkan secara berterusan,” katanya.

Dato’ Amiruddin menasihatkan agar penanam-penanam nanas mengelakkan pengeluaran nanas pada dua masa iaitu musim buah-buahan dan bulan Ramadhan. Waktu yang paling sesuai adalah selain musim tersebut seperti musim cuti sekolah dan musim kenduri kahwin.

Beliau juga menggalakkan usahawan-usahawan untuk membuat pengetinan nanas dan membut jus nanas.

“Kita juga menjual kulit nanas kepada sebuah syarikat dan syarikat tersebut menggunakan kulit nanas tersebut untuk membuat makan haiwan ternakan.

“Kerajaan negeri kini mempunyai kilang pengetinan buah-buahan di Sungai Petani dan ianya adalah untuk mengelakkan lambakan buah-buahan berlaku,” katanya lagi.

Terangnya, kerajaan negeri turut memberikan peruntukan kepada petani-petani yang mempunyai tanah yang terbiar disebabakan sebarang masalah seperti masalah perparitan.

Peruntukan tersebut diberi sebanyak RM20 ribu iaitu RM12 ribu untuk membaiki saliran dan tanah, manakala RM8 ribu lagi adalah untuk penggunaan baja dan racun tumbuhan. Bantuan tersebut bukanlah dalam bentuk wang tunai tetapi dalam bentuk bantuan fizikal.

“Kerajaan negeri tidak hanya menumpukan kepada pengeluaran nanas sahaja kerana kerajaan negeri juga memberikan perhatian kepada pengeluaran padi dan lain-lain. Antaranya adalah mengambil perhatian terhadap sawah yang di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda iaitu kita akan memohon peruntukan untuk membuat saliran yang lebih baik.

“Selain itu, kita juga akan memilih buah-buahan yang mendapat harga di pasaran contohnya Rambutan Deli dan kita juga adakan program pemulihan dusun dengan menjadikan dusun yang sedia ada menjadi lebih baik,” ujarnya.

Dato’ Amiruddin menggalakkan orang ramai untuk menanam pokok buah-buahan di sekeliling rumah mereka dan membuang pokok yang tidak lagi berguna dalam program “Sebuah rumah, 10 pokok”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan