WELCOME


Isnin, 21 Jun 2010

Saya akan terus bantu rakyat kurang berkemampuan - MB KEDAH

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

SUNGAI PETANI: Seramai 372 orang yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan di Daerah Kuala Muda menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kedah yang berjumlah RM40,370.

Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada majlis penyampaian Bantuan Am Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman bagi Daerah Kuala Muda di Pekarangan Pejabat Daerah Kuala Muda, di sini.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM3.6 juta untuk bantuan kepada waris si mati melalui e-Sinar dan Kerajaan Negeri juga turut mengarahkan GLC memberi sedikit peruntukan untuk tujuan itu.

“Seramai 1,408 orang yang terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan di Daerah Kuala Muda akan menerima bantuan am yang berjumlah RM130,517 daripada JKM Negeri Kedah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar menjelaskan, hasil kutipan cukai tanah di Daerah Kuala Muda amat baik sekali dan untuk Belanjawan bagi tahun 2010 akan ditingkatkan lagi demi untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Itu menjadi hasrat saya untuk membantu rakyat dan Kerajaan Negeri akan terus memberikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan bantuan terutama golongan yang kurang berkemampuan seperti ibu tunggal dan anak yatim,” tambahnya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri merasai tugas ini amat penting dalam usaha menerajui pentadbiran negeri ke arah memberikan kebajikan kepada rakyat.

“Ini bersandarkan kepada slogan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’ di mana kita membelanjakan wang secara berhemah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan