WELCOME

Isnin, 8 Mac 2010

2 tahun Usia Pakatan Rakyat di Kedah...

MB lega dua tahun tadbir Kedah

ALOR SETAR- Usia dua tahun pentadbiran Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Pas memberi kesejahteraan kepada rakyat di negeri ini dengan memastikan setiap masalah diselesaikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, kehidupan yang aman dinikmati oleh rakyat perlulah dijaga supaya Pas kekal dapat mentadbir Kedah.

Menurutnya, pemantauan sentiasa dilaksanakan untuk memastikan rakyat dapat mengecapi kesejahteraan walaupun Pas mentadbir negeri ini dengan penuh cabaran.

“Saya berasa lega dengan usia pentadbiran yang genap dua tahun dan berharap pentadbiran ini dapat diteruskan sehingga menjelang pilihan raya akan datang.

“Kita juga tidak mempunyai sebarang masalah selama dua tahun memerintah dan jika ada sekalipun masalah itu tidak serius serta dapat diselesaikan,” katanya.

Azizan berkata, beliau turut meletakkan harapan pada pemimpin di negeri ini termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan Exco untuk meningkatkan usaha mereka bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

Azizan berkata, pemimpin bukan sahaja dinasihatkan untuk tingkatkan prestasi malahan mereka perlulah melebihkan sumbangan berbentuk kebajikan kepada rakyat agar moto ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’ dapat dicapai.

Sementara itu, ahli Pakatan Rakyat (PR) mengagumi pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pemerintahan Menteri Besar yang sentiasa memikirkan pembaharuan untuk kemajuan negeri.

ADUN Kota Darul Aman, Lee Guan Aik berkata, rakyat sentiasa diberi keutamaan oleh Menteri Besar.

“Kerajaan Negeri tidak pernah memungkiri janji dengan mengabaikan kebajikan rakyat namun tugas yang dilaksanakan tidak dihebohkan.

“Walaupun diperintah oleh Pas namun kebajikan semua kaum diberi dengan adil,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan dan Penerangan, Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata, perubahan besar yang dilakukan oleh rakyat pada pilihan raya yang lalu jelas menunjukkan bahawa rakyat mahukan pembaharuan di sektor pentadbiran.

Dr Hamdan berkata, perubahan yang dimahukan oleh Kerajaan Negeri itu sememangnya tidak dapat dilaksanakan dengan cepat untuk memastikan kemajuan berterusan.

“Kerajaan Negeri dapat memerintah dengan baik walaupun dua tahun dan bukti yang dapat diberikan kepada rakyat adalah 60 peratus manifesto yang dibuat oleh Pas telah pun dilaksanakan.

“Pemerintahan yang penuh dengan cabaran masih dapat dilaksanakan dengan baik, hanya menggunakan keupayaan yang ada pada Kerajaan Negeri,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan